zainal tj
Cover image via Harian Metro

Kuala Lumpur: Hasrat bekas pelakon dan pengarah, Zainal TJ atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad, 54, untuk bertemu rakan-rakan seangkatan dalam bidang seni buat kali terakhir tidak kesampaian apabila beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang jam 5 pagi tadi.

Isterinya Ida Yuhana Sulaiman, 45, berkata, Allahyarham suaminya sering berharap agar rakan-rakannya datang melawat namun kecewa kerana tiada seorang pun berbuat demikian ketika dia terlantar sakit.

“Berita penderitaan abang sudah diketahui umum apabila disiarkan menerusi akhbar dan laman sosial tetapi tiada siapa pun dikalangan rakan rapat yang sudi melawat.

“Kalau diikutkan, dia banyak juga berjasa terhadap industri terutama dalam menggilap bakat pelakon tempatan. Malangnya dia seakan dilupakan begitu saja.

“Agaknya ada yang takut kalau-kalau kami minta wang sedangkan abang hanya nak berbual-bual bagi mengisi masa.

“Bagaimanapun saya puji beberapa artis antaranya Salwa Abdul Rahman dan Yank Kassim kerana selalu menghubungi kami untuk bertanya khabar dan datang melawat” katanya.

Sebelum ini, Zainal yang juga bekas pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 1995, dimasukkan ke HS sejak 26 Oktober lalu akibat bengkak kaki dan kemudiannya disahkan mempunyai masalah salur darah membengkak dan jangkitan kuman.

Ida berkata, dia terkejut apabila dihubungi oleh pihak HS pada jam 5.20 pagi bagi memaklumkan kematian Zainal sedangkan sebelum itu suaminya dalam keadaan stabil.

“Keadaannya okay tetapi hanya demam sedikit pada sebelah petang. Cuma dia ada mengadu agak letih dan nak berehat.

“Bagaimanapun abang masih mampu berjalan dan berbual ketika saya meninggalkannya pada jam 8.30 malam.

“Saya terpaksa pulang kerana kena menguruskan persekolahan anak tunggal kami, Afiq Zikry, 12.

Apapun saya reda dengan pemergian suami. Arwah sangat positif dan tak pernah merungut dengan penyakit yang dideritai. Syukur dia pergi dalam tidur,” katanya.

Jenazah Zainal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang selepas solat Zohor.

LEAVE A REPLY