Zaid Ibrahim

Pakatan Harapan (PH) masih terus bergelora dalam isu berkaitan calon Perdana Menteri bagi gabungan politik berkenaan. Walaupun baru-baru ini pemimpin utama pembangkang, Anwar Ibrahim telah menolak untuk dicalonkan sebagai perdana menteri dan meminta PH untuk mengukuhkan semula kesepakatan, memberi tumpuan kepada usaha memenangi pilihan raya, berpegang teguh kepada amalan konsensus dalam pemilihan perdana menteri dan segera menghentikan perbalahan berhubung isu calon perdana menteri ini, namun pandangan dan suara Anwar itu seolah-olah tidak dipedulikan.

Semalam salah seorang anggota penting dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang juga bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sebelum itu bersama-sama dengan UMNO, Zaid Ibrahim mengeluarkan senarai kabinet bayangannya. Jelas sekali tindakan Zaid ini seperti mahu meributkan lagi keadaan dan tidak mahu berhenti daripada terus memperkata tentang siapa yang wajar memimpin PH.

Zaid dalam senarainya itu meletakkan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, namun jawatan Timbalan Perdana Menteri dibiarkan kosong. Ramai penganalisis berpandangan senarai Zaid ini agak berat sebelah kerana Zaid sememangnya diketahui sebagai individu yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Tun M. Selain itu, kekosongan di kerusi Timbalan Perdana Menteri juga membuatkan ramai melihat Zaid cuba ‘memujuk’ Anwar untuk memberikannya semula jawatan berkenaan selepas tragedi pemecatan tokoh PKR itu oleh Tun M pada tahun 1998.

Zaid turut meletakkan beberapa nama dalam Kabinet dan anggota pentadbiran termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Minyak manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali memegang jawatan Menteri Kewangan.

Agak kontroversi apabila Zaid menamakan Lim Kit Siang sebagai Menteri Pendidikan yang sudah tentu akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengundi Melayu memandangkan Pendidikan merupakan portfolio penting yang memantau soal kepentingan bahasa dan sistem pendidikan kebangsaan. Senarai dikeluarkan Zaid ini sebenarnya boleh memberikan implikasi negatif kepada PH jika Barisan Nasional (BN) menggunakannya sebagai alat kempen khususnya kepada kaum Melayu.

Lebih menghairankan bagaimana Zaid boleh terlintas untuk melantik R.Sivarasa dari PKR sebagai Peguam Negara sedangkan di Jabatan Peguam Negara sendiri terdapat ramai pegawai-pegawai yang berkredibiliti tinggi dan mempunyai keupayaan pentadbiran di samping pengalaman lebih luas.

Zaid juga mencadangan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong sebagai Menteri Pengangkutan, pemimpin Parti Amanah, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan, Tony Pua sebagai Menteri Perdagangan manakala Rafizi Ramli sebagai Menteri Khas yang bertanggungjawab terhadap agensi utama seperti MARA, FELCRA, RISDA, FELDA dan Tabung Haji. Nama-nama lain yang turut berada dalam bayangan Zaid ialah Nurul Izzah, Mujahid Yusof Rawa dan Saifuddin Nasution Ismail.

Zaid terkenal sebagai karakter ahli politik yang tidak tetap dengan pendirian malah boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian. Sehubungan itu, cadangan Zaid ini boleh dibaca sebagai satu usaha berterusan untuk menafikan peluang Anwar Ibrahim muncul sebagai Perdana Menteri dan kenyataan Zaid ini juga dibuat sebagai respons apabila Anwar meminta PH untuk menghentikan perbalahan berhubung soal kepimpinan utama. Zaid jelas seperti tidak mahu melayan apa yang diminta Anwar dan kemelut kepimpinan dalam PH akan terus berlarutan kerana Anwar tidak lagi mempunyai kekuatan penuh untuk mengukuhkan PH, tetapi telah ramai pemimpin lain yang berani ke depan dan membuat perhitungan sendiri yang akhirnya bakal merugikan PH.⁠⁠⁠⁠

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here