lisa surihani
Cover image via @yusrykru

PELAKON jelita, Lisa Surihani dan suami, Yusry Abdul Halim sepakat memilih nama Yusof Leonne buat cahaya mata kedua mereka yang lahir pada 23 April lalu.

Biarpun masih menjalani proses berpantang, Lisa tetap nampak bersemangat sewaktu menjayakan majlis tahnik anak lelakinya yang berlangsung di kediaman mereka hujung minggu lalu.

Memuat naik gambar dirinya sekeluarga di Instagram, wanita berusia 31 tahun itu memilih untuk berkongsi nama bayi comelnya selepas tujuh hari dilahirkan.

Dalam nada teruja selain sesekali melepaskan ketawa kecil saat bercerita soal pemilihan nama, Lisa memberitahu dia bakal kembali sibuk menjalani penggambaran sebuah telefilem pada pertengahan Jun depan.

Lisa juga mengharapkan tindakannya yang tegas dan disiplin dalam soal pengurusan masa membolehkan dirinya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon, isteri dan ibu kepada Yahaira Leanne, 2, dan Yusof Leonne dengan baik.

Tahniah di atas kelahiran cahaya mata kedua. Bolehkah Lisa kongsikan tentang perkembangan bayi dan mengapa memilih nama Yusof Leonne?

LISA SURIHANI: Alhamdulillah keadaan bayi sihat. Secara peribadi nama Yusof itu dipilih sekiranya mendapat bayi lelaki sewaktu hamil anak pertama. Ketika itu, saya tidak mengetahui jantina anak dan berhasrat untuk menamakan Yusof. Nama Leonne pula dipilih oleh Yusry. Katanya, dia amat sukakan nama itu dan saya tidak mempunyai bantahan malah bersetuju dengan pilihannya.

Mengapakah sekarang baru anda kongsikan nama anak kedua?

Keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak keluarga yang menginginkan majlis tahnik diadakan tujuh hari selepas bayi lahir. Perancangan itu sama seperti kelahiran cahaya mata pertama kami, Yahaira Leanne. Syukur majlis yang diadakan di kediaman kami berjalan lancar atas bantuan sahabat baik, Jovian Mandagie.

Memandangkan anda baru sahaja melahirkan seorang bayi dua minggu lalu, bolehkah kongsikan pengalaman proses berpantang dan keadaan sekarang?

Memandangkan ini cahaya mata kedua, jadi saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjalani proses berpantang. Saya juga menggunakan khidmat seorang wanita dari Indonesia yang dipanggil ibu bagi membantu melancarkan proses berpantang dengan mudah. Saya memilihnya selepas mendapat maklum balas positif daripada tiga orang kenalan rapat yang sebelum ini pernah mendapatkan perkhidmatannya.

Adakah cara berpantang tempatan berbeza dengan Indonesia?

Pada saya proses berpantang itu sama dan tidak mempunyai terlalu banyak perbezaan. Proses seperti bertungku, urutan dan bertangas tetap dilakukan bagi memastikan kesihatan badan. Saya juga disarankan mandi dengan air wangian yang telah disediakan oleh ibu pada waktu pagi. Biarpun kita berdepan dengan arus kemodenan tetapi saya tetap terbuka dan selesa melakukan cara tradisional dan mempercayai keberkesanannya.

Selepas berakhir tempoh berpantang, adakah anda akan kembali aktif dalam bidang lakonan?

Melihat kepada jadual kerja sekarang, saya akan ke lokasi penggambaran sebuah telefilem pada pertengahan Jun depan iaitu sebaik sahaja proses berpantang berakhir.

Bolehkah kongsi sedikit mengenai naskhah tersebut dan mengapakah anda menerima tawaran berkenaan?

Saya mohon maaf kerana tidak dapat bercerita secara terperinci mengenai telefilem terbabit. Bagaimanapun, naskhah tersebut akan diarahkan oleh Bernard Chauly. Saya terima tawaran berlakon di bawah arahannya kerana terlalu rindu dengan idea dan magis Bernard selepas kali terakhir kami bekerjasama menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia pada tahun 2014.

Menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata, adakah anda akan mengehadkan aktiviti seni?

Bagi yang mengenali saya sejak sebelum kahwin dahulu, pastinya mereka telah mengetahui cara dan pengurusan masa saya bekerja. Memang tidak dinafikan sukar untuk memastikan jadual kerja itu seimbang tetapi saya percaya sekiranya kita bijak dan disiplin dalam soal pengurusan masa, insya-Allah segalanya akan berjalan lancar. Pada saya, dalam keadaan sekarang ini perkara utama ialah perbincangan dengan pihak produksi atau dapat saling bertolak ansur.

Selain itu, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap manusia itu mempunyai masa 24 jam sehari dan tidak kurang atau lebih. Justeru, dalam tempoh itu saya akan pastikan masa bersama keluarga tetap ada terutama anak-anak yang masih kecil. Saya ingin pastikan Yusof dapat diberikan susu badan secukupnya.

Baca lagi: Lisa Surihani Teruja Impian Tercapai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here