yuna
Cover image via Harian Metro

Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna, yang sedang melonjak namanya di Amerika Syarikat bersedia untuk bekerjasama sekali lagi dengan bintang R&B dunia, Usher jika dijemput berduet dalam single terbitan penyanyi berkenaan pada masa depan.

Difahamkan, Yuna turut dipelawa berduet dengan Usher dalam lagu terbarunya yang masih dalam perancangan.

“Saya sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk berduet dalam single atau album Usher yang akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran telefon pintar terbaru Samsung Galaxy Note7 di Manhattan, New York, Amerika Syarikat, kelmarin.

Lagu Crush duet penyanyi itu dengan Usher yang kini semakin popular di stesen radio tempatan berjaya menduduki tangga ke-18 dalam carta muzik popular, Billboard bagi kategori Adult dan R&B pada April lalu.

Yuna yang menghabiskan masanya di Los Angeles turut mengakui lagu itu turut melonjakkan kariernya di Amerika Syarikat namun percaya semua itu dapat dilakukan jika seseorang itu berusaha keras untuk mencapainya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelantikannya sebagai Duta Samsung Galaxy Note7, Yuna berkata, dia sudah menjadi pengguna setia Samsung sejak dulu lagi dan tidak menyangka diberi kepercayaan untuk mempromosikan telefon pintar terbaru ini.

“Saya menggunakan Samsung Note3 sejak dulu dan kemudian menerusi Note5 yang dirasakan sudah cukup canggih namun apabila diperkenalkan Note7 pula, saya cukup teruja dengan ciri inovatif yang lebih canggih,” katanya.

Yuna yang mengakui membesar bersama peranti pintar itu berkata, Note7 dilihat cukup sesuai dengan kerjayanya sebagai penyanyi yang sering menulis nota lagu atau membuat lakaran tertentu menggunakan telefon pintar berkenaan.

“Apabila saya cuba Note7 ini, kualiti gambarnya lebih baik dan ciri imbasan mata dan S Pen yang lebih unik amat sesuai dengan jiwa kreatif saya,” katanya.

Sementara itu, penyanyi rap, Joe Flizzow yang turut hadir sebagai duta Samsung Galaxy Note7 pada majlis berkenaan turut mengakui cukup teruja dengan ciri terbaru telefon berkenaan terutama S Pen.

“Ciri paling saya suka dalam telefon ini ialah ciri skrin HDR yang lebih jelas dan kalis air kerana apa saja boleh berlaku tanpa diduga.

“Selain itu, ciri imbasan iris atau mata ini seolah-olah ciri dunia masa depan yang kini sudah ada dalam tangan kita,” katanya.

LEAVE A REPLY