Yahoo Digodam

Yahoo digodam dalam serangan besar-besaran terhadap rangkaian mereka pada tahun 2014 dan telah menyebabkan lebih 500 juta data pengguna berjaya dicuri oleh penggodam. Pihak Yahoo percaya aktiviti ini telah ditaja oleh pihak-pihak tertentu.

Yahoo mengesahkan penggodaman terhadap rangkaian mereka sebulan selepas laporan dibuat mengenai perkara tersebut. Pihak Yahoo turut menjelaskan bahawa beberapa maklumat tertentu daripada akaun pengguna mereka telah dicuri penggodam.

“Berdasarkan siasatan yang sedang berjalan, Yahoo percaya bahawa maklumat yang berkaitan dengan sekurang-kurangnya 500 juta akaun pengguna telah dicuri,” kata satu kenyataan oleh gergasi internet Amerika Syarikat itu.

“Yahoo sedang bekerjasama erat dengan penguatkuasa undang-undang mengenai perkara ini.”

Yahoo berkata maklumat yang dicuri mungkin termasuk nama, alamat e-mel, tarikh lahir, dan kata laluan, serta soalan keselamatan dan jawapan yang boleh membantu penggodam memecah masuk ke dalam akaun dalam talian magsa yang lain.

Yahoo meminta pengguna yang terjejas untuk menukar kata laluan, dan mencadangkan agar semua pengguna mereka yang tidak pernah mengemaskini kata laluan mereka sejak 2014 untuk mengambil tindakan yang sama sebagai langkah berjaga-jaga.

 

 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY