westworld
Cover image via Harian Metro

Mengangkat taman tema futuristik Wild West sebagai subjek utama penceritaan, Westworld adalah siri baru HBO untuk penonton setianya.

Menemui penonton Isnin ini, jam 9 pagi di saluran HBO, Westworld berdasarkan filem fiksyen sains berjudul sama yang ditayang­kan pada 1973.

Siri bajet rendah ini mengetengahkan naratif yang cukup menarik iaitu manusia boleh mencipta dunia fantasi di taman tema kendalian robot.

Robot canggih yang dicipta mampu berfikir dan menyerupai manusia tanpa menyedari dia adalah mesin.

Di taman tema itu, robot berkenaan terpaksa melalui penderaan dan layanan teruk akibat melayan kehendak pengunjung.

Siri 10 episod ini dibintangi Anthony Hopkins, Ed Harris, Evan Rachel Wood dan James Marsden.

Pengarah dan penulis skrip Westworld, Jonathan Nolan menjelaskan siri berkenaan masih mengekalkan konsep filem asal dan ditambah beberapa persoalan untuk renungan penonton.

“Kami mahu penonton fikir apa bakal berlaku sekiranya manusia diberi peluang merealisasikan fantasinya.

“Adakah manusia akan menemui sesuatu yang tidak pernah disedarinya selama ini,” katanya.

Pencipta Bersama Westworld, Lisa Joy berkata, produksi ingin meneroka bidang kepintaran tiruan dengan mengetengahkan robot ‘bernyawa’.

“Kami mengkaji maksud menjadi manusia menerusi kaca mata setiap robot,” katanya.

Joy turut menjelaskan babak kejadian rogol yang membabitkan satu robot wanita dan seorang pengunjung lelaki bukan main-main.

“Westworld memaparkan sifat semula jadi manusia iaitu kebaikan dan keburukkan. Ini termasuk keganasan dan serangan seksual,” katanya.

Sementara itu, portal Variety mengulas siri awal Westworld mengetengahkan banyak babak ganas dan pembunuhan.

Menurut Variety, 15 minit pertama siri itu memaparkan seorang wanita diheret untuk diseksa diikuti babak pembunuhan beramai-ramai.

Antara watak utama dalam Westworld ialah Dr Robert Ford yang memegang jawatan sebagai pengasas dan ketua pengaturcara taman tema berkenaan.

Manakala Dolores Abernathy, lakonan Wood pula anak pengusaha pertanian yang cantik dan baik hati kemudian menyedari dirinya serta persekitarannya hanyalah rekaan manusia.

Kehadiran lelaki meng­gelarkan dirinya The Man In Black bertindak sebagai pembunuh bersiri dengan alasan ingin mencapai tahap kesukaran permainan itu.

Ketua Pengawal Keselamatan, Stubbs pula diamanahkan untuk memantau interaksi di antara robot dan pengunjung, pada masa sama menjaga keselamatan taman tema berkenaan.

Siri ini semakin menarik dengan kehadiran Lawrence, lelaki tampan namun berbahaya kerana kebolehannya membuat rundingan kegiatan jenayah dalam Westworld.

Sementara itu, episod pertama Westworld boleh disaksikan dengan percuma di 18 negara Asia termasuk Malaysia menerusi laman web HBO Asia iaitu www.hboasia.com.

Siaran percuma itu akan bermula pada 14 hingga 28 Oktober ini. Selain itu, siri ini turut disiarkan di Astro On The Go.

LEAVE A REPLY