uqasha senrose
Cover image via @uqashasenrose2

Pelakon Uqasha Senrose yang sarat dengan kontroversi meluahkan rasa syukur apabila lakonannya dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella menjadi perhatian ramai.

Namun, penampilan Uqasha, 24, dalam program hiburan MeleTOP untuk mempromosikan drama berkenaan baru-baru ini menjadi bualan ramai apabila netizen mendakwa pelakon tersebut diperli secara berkias oleh pengacara, Nabil Ahmad dan Neelofa.

Dia diperli mengenai kisah silamnya yang kebetulan pernah menjalin hubungan istimewa dengan Nabil ketika lelaki berkenan masih belum berkahwin.

Menjawab kepada persoalan itu, Uqasha sebagai pelakon profesional menjelaskan, dia tidak kisah dengan kata-kata orang sekelilingnya.

Namun tegasnya, tindakan tersebut tidak wajar kerana kehadirannya dalam program berkenaan hanya untuk mempromosikan drama berkenaan.

Apakah respons Uqasha apabila diperli pengacara dalam program MeleTOP?

Uqasha: Bagi saya apabila pengacara cuba mengungkit cerita lama, saya sudah tidak kisah. Orang hendak perli atau kata apa sahaja terpulang pada mereka.

Bagi anda wajarkah tindakan tersebut?

Memang tidak wajar sebab saya datang ke program itu untuk mempromosikan kerja saya. Namun, sebenarnya saya tidak rasa diperli dan tidak sedar bilakah perkara itu berlaku. Sebab itu, saya tidak memberikan sebarang respons.

Bagaimanakah hubungan cinta anda dengan seorang kerabat diraja yang didakwa telah putus?

Kami masih berkawan seperti biasa dan saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan tentang status hubungan itu. Soal putus cinta saya tidak mahu komen kerana masih menghubungi dia seperti biasa. Jika boleh, saya tidak mahu bercakap tentang kisah peribadi lebih baik fokus pada kerjaya sahaja.

Boleh kongsikan perkembangan kerjaya anda?

Alhamdulillah, lakonan saya dalam drama Hero Seorang Cinderella mendapat perhatian ramai. Saya akui mendapat banyak komen positif apabila membawa watak antagonis. Walaupun orang tidak suka dengan watak Puteri, tetapi bagi saya ia satu kepuasan. Itu bermakna lakonan saya berkesan kerana orang membenci Puteri.

Bagaimanakah anda berhadapan dengan kontroversi membabitkan pelakon utama drama berkenaan, seperti cinta lokasi antara Fattah Amin dan Fazura?

Saya tidak terasa apa kerana kontroversi tertumpu kepada dua pelakon utamanya. Tambahan pula, watak yang saya bawakan tidak ada kena mengena dengan kehidupan peribadi dan apa yang berlaku sebelum ini. Apapun saya bersyukur kerana kali ini saya mendapat perhatian atas tiket bakat lakonan dan bukannya kisah kontroversi.

Adakah anda sibuk sepanjang bulan Ramadan?

Sepanjang Ramadan jadual saya terlalu padat kerana drama Hero Seorang Cinderella masih menjalani penggambaran biarpun telah ditayangkan di televisyen. Saya hanya akan bercuti bermula 20 Jun selama seminggu untuk menyambut Aidilfitri. Selepas itu saya kembali sibuk di set penggambaran drama baharu, juga bersama pengarah Michael Ang.

Bagaimanakah persiapan Aidilfitri anda?

Disebabkan sibuk, saya langsung tidak beli baju baharu. Cuma ada mendapat beberapa helai baju tajaan daripada pereka fesyen. Sebenarnya saya suka lakukan persiapan pada saat akhir kerana suka suasana kecoh bersama keluarga. Walaupun tidak balik ke kampung di Kelantan, sebaliknya hanya beraya di Kuala Lumpur, bagi saya sudah memadai asalkan dapat berkumpul bersama keluarga.

Baca lagi: Lagu Tema Hero Seorang Cinderella Ditangga Pertama iTunes

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here