upin & ipin
Cover image via HArian Metro

Permintaan tinggi daripada peminat Upin dan Ipin untuk mengangkat siri animasi popular itu ke layar perak akhirnya direalisasikan menerusi filem Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! yang akan ditayangkan di pawagam mulai 24 November ini.

Menariknya, filem kolaborasi antara Les Copaque Production dan KRU Studios serta edaran Grand Brilliance Sdn Bhd ini adalah karya animasi tanah air pertama yang menggabungkan teknik animasi 3D dan lakonan hidup.

Diarahkan Erma Fatima, filem ini dibintangi Puteri Balqis, Remy Ishak, Sara Ali, Gambit Saifullah, Awie serta pemilik suara kembar Upin dan Ipin, Asyiela Putri.

Biarpun berpengalaman lama dalam bidang seni, Balqis atau nama sebenar Puteri Balqis Azizi mengakui lakonan dalam animasi sulungnya itu mencabar kerana perlu berdialog seorang diri.

“Pada mulanya, saya rasa agak kekok kerana perlu bercakap seorang diri untuk babak bersama Upin dan Ipin.

“Saya juga perlu memastikan kedudukan dan ketinggian dua karakter itu tepat agar memudahkan kerja suntingan,” katanya pada Malam Gala dan Tayangan Perdana Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng!, baru-baru ini.

Menurut pelakon cilik berusia 10 tahun itu, dia juga peminat setia Upin & Ipin dan menonton siri animasi berkenaan sejak usianya empat tahun.

“Memang bertuah saya berpeluang beraksi dalam filem mengabungkan animasi dan lakonan hidup. Apatah lagi Upin & Ipin animasi kegemaran, sudah tentu saya terlalu gembira untuk menerima tawaran ini,” katanya.

Bawa Upin & Ipin ke Amerika Syarikat

Bukan saja di Malaysia, animasi mengisahkan kembar seiras cilik ini turut mendapat sambutan hangat di negara jiran.

Justeru, filem Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! juga bakal mengubat rindu peminat di Singapura dan Brunei.

Penerbit, Datuk Norman Abdul Halim berkata, filem menelan kos RM4 juta itu turut mendapat tempahan dari negara Timur Tengah.

“Buat masa ini, kami masih mengadakan perbincangan dengan pengedar di negara berkenaan. Bagi Indonesia pula, kami berharap dapat menayangkan filem ini di negara itu pada sekitar Disember ini,” katanya.

Selain pasaran Asia dan Timur Tengah, Norman berkata, filem Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! juga akan dipromosikan di Persidangan Pasaran Filem Amerika yang berlangsung di Los Angeles, California sehingga 9 November ini.

“Pada masa sama, kami juga merancang mengalih suara filem ini dalam bahasa Inggeris bagi menjangkau penonton lebih luas,” katanya.

Dalam pada itu, Norman berkata, filem terbabit bukan saja untuk kanak-kanak tetapi turut sesuai disaksikan semua lapisan masyarakat kerana disampaikan dalam tiga sudut penceritaan.

Selepas Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng!, Les Copaque Production akan mengeluarkan filem animasi penuh Upin & Ipin tahun depan.

Pengarah Urusan Les Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, proses pembikinan filem kedua itu berjalan lancar dan mempunyai baki durasi 30 minit untuk diselesaikan.

“Filem ini diharapkan dapat disiapkan menjelang Jun tahun depan. Bagaimanapun, kami merancang mengeluarkan filem berkenaan di luar negara dulu sebelum ditayangkan di Malaysia sebagai strategi pemasaran,” katanya.

Sinopsis

Filem ini mengisahkan kehidupan anak yatim bernama Aqish yang juga peminat tegar animasi popular Upin dan Ipin.

Suatu hari, Aqish mendapat tahu seorang lelaki bernama Zaman mahu mengambil kembali tanah rumah anak yatim itu.

Balqis kemudian meluahkan masalah itu kepada Upin dan Ipin, tanpa menyedari dua watak itu mendengar luahannya dan muncul di hadapannya. Bagaimanapun, hanya Aqish saja nampak Upin dan Ipin.

Pada masa sama, penyanyi rock, Awie yang terkenal suatu ketika dulu mengalami masalah kewangan dan mencari peluang untuk menghasilkan album baru untuk mendapat wang.

Kebetulan pula, Awie bersama rakannya, Bo terserempak dengan Aqish dan mereka juga pernah membesar di rumah anak yatim berkenaan.

Selepas mendengar masalah Aqish dan pengendali rumah itu, Noreen, Awie bersetuju untuk membuat konsert amal.

Keadaan menjadi cemas apabila Aqish mengumumkan Upin dan Ipin akan membuat penampilan istimewa di konsert itu.

Namun, pada konsert, Upin dan Ipin benar-benar muncul dan membuat persembahan hebat sehingga menyebabkan semua penonton teruja dan yakin dengan kewujudan dua watak itu.

Baca lagi: Les Copaque Raih Dua Anugerah Animasi Di Jakarta

LEAVE A REPLY