Unit Pertahanan Siber

KUALA LUMPUR: Sistem pertahanan negara telah dipertingkatkan dengan penubuhan Unit Pertahanan Siber yang bertujuan memantau ancaman siber.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sistem yang dibangunkan pada tahun lepas ini adalah penting kerana ancaman keselamatan bukan fizikal dan bukan konvensional yang memerlukan kepakaran untuk mengawal.

“Fokus utama Unit Pertahanan Siber adalah untuk meningkatkan pertahanan siber terhadap sistem infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dan aktiviti siber forensik.

“Saya percaya Malaysia akan menjadi salah satu daripada negara-negara yang mempunyai potensi untuk bergerak ke hadapan dalam bidang ini pada masa yang sama menangkis percubaan untuk menyusup masuk ke sistem pertahanan kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian dan sambutan Hari Inovasi kementerian, di sini semalam.

Hishammuddin enggan mendedahkan jumlah serangan siber ke atas sistem pertahanan negara sejak Unit Pertahanan Siber mula beroperasi.
– Bernama

LEAVE A REPLY