UMNO

KEKUATAN UMNO sejak 71 tahun lalu ada pasang surutnya.

Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan sesiapa, seumpama dalam kehidupan sebuah rumahtangga pasti ada manis dan pahitnya selain mengharungi getir cabaran yang pelbagai.

Dalam UMNO, kelantangan pemimpin serta solidariti ahli menjadi ramuan utama parti hidup dan tetap bernafas sehingga hari ini.

UMNO lahir atas kesedaran dan kehendak para perwakilan yang menghadiri Kongres Melayu Se-Malaya yang pertama pada 1 sehingga 4 Mac 1946.

Kemudian, penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, dengan Dato’ Onn Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama dapat dikatakan sebagai mengelak orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan-golongan lain yang lebih maju.

Parti yang lahir dari darah dan air mata menjadi keramat selepas suntikan roh perwira kemerdekaan serta pemimpin yang tidak pernah sedikit pun mengeluh berjuang demi melihat Melayu terus cemerlang di negara sendiri.

Perjalanan masa demi masa mengubah pendekatan parti, namun, rentetan masa itu seharusnya disedari mengubah sedikit pendekatan UMNO kepada masyarakat.

Parti yang dilabel milik Melayu ini kini sudah mula membuka mata masyarakat dengan keterbukaan kepada bukan Melayu.

Ia bukan bermakna kepentingan Melayu dikurangkan namun satu langkah membuka mata serta kefahaman masyarakat untuk melihat peranan UMNO dalam membantu Melayu tanpa meminggirkan hak kaum lain.

Kesedaran UMNO untuk meremajakan parti sudah tampak usahanya kebelakangan ini dan menjadi platform pelbagai program kepada golongan sasar.

Media sendiri mencanang pelbagai rancangan UMNO kepada golongan muda untuk dilihat dari aspek positif terhadap usaha parti.

Kerjasama Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dengan hulubalang kanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memastikan parti sentiasa relevan dalam berhadapan keperluan semasa.

Jadi, prinsip wala’ yang diperkenalkan kepada ahli parti pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas jelas membawa maksud nilai-nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai’ah, yang wajib diberikan.

Dalam konteks ini, ia termasuk kepada seseorang khalifah atau pemimpin yang sah, atau dalam konteks UMNO, kepada Presidennya, manakala dalam konteks Kerajaan pula, kepada Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib pernah menekankan, wala’ yang diberikan bukanlah sekadar kepada jasad, tubuh atau individu, akan tetapi, wala’ sebenarnya merangkumi institusi presiden atau Perdana-Menteri yang disandang.

Meskipun parti pernah melalui pelbagai rintangan dan sering kali cuba ditarik ke dalam kancah perpecahan dan berpuak-puak namun ia diselamatkan tuhan malah mampu bertahan sehingga hari ini kerana prinsip dan falsafah wala’ jelas terpancar amalannya dalam tradisi mulia UMNO.

Lupakan semua sejarah hitam dalam UMNO, biarlah ia menjadi parut yang memberi teladan agar tidak berulang lagi.

Ceritalah apa sahaja masalah parti, semuanya dihadapi UMNO dengan bijak umpama menarik rambut dari tepung, ramput jangan putus, tepung jangan berserak.

UMNO pernah dibatalkan pendaftarannya. UMNO juga pernah panas dengan perangai beberapa pemimpin tertinggi dalaman parti yang mencetuskan sengketa tidak sekata dengan pucuk pimpinan yang ada dan pelbagai cabaran lagi.

Biarlah segalanya tercatat dalam sejarah muram UMNO. Namun, hakikatnya UMNO memiliki kekuatan tersendiri. Kepe­mimpinan UMNO matang dalam menghadapi sebarang suasana dan keadaan.

Majoriti penyokong UMNO sentiasa mengutamakan kestabilan parti. Lalu, UMNO tetap segar dalam perjuangannya demi melaksanakan misi memelihara dan mempertahankan kesucian Islam dan hak orang Melayu, selain berpadu erat, memenuhi kepentingan semua kaum dalam negara ini.

Dalam meraikan kematangan UMNO, parti juga perlu bersedia mendepani persediaan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Serangan propaganda serta media sosial pembangkang harus dilihat usaha berterusan pihak berkenaan untuk memburukkan UMNO dan melemahkan kedudukan penguasaan kerajaan.

Ia aspek yang perlu diambil kira satu gangguan yang perlu dihentikan selain pada masa sama memperkuatkan keluarga dalam parti.

Oleh sebab itu, peranan Wanita, Pemuda dan Puteri harus diperkuatkan semula. Mereka bukan penghias majlis dan penyeri menjelang hari pembuangan undi.

Pemuda UMNO terutamanya bukan sekadar lantang pada hari tertentu semata-mata mencari publisiti dan kedudukan di dalam perniagaan.

Pemuda UMNO terutamanya harus menjadi benteng institusi presiden dan menjawab isu-isu semasa dengan fakta selain menyakinkan masyarakat terhadap pelbagai lemparan fitnah pembangkang kepada parti.

Jangan sombong, walau sudah berusia 71 tahun, ia bukan kunci yang membolehkan UMNO mendabik dada.

UMNO perlu kembali kepada zaman asal penubuhannya, kepada perjuangan asal kemerdekaan negara namun kini demi kemerdekaan minda.

Tidak berdosa jika terus mengekal adat menyambut pemimpin UMNO dengan ‘salam cium tangan’ daripada memuat naik gambar atau tweet kehadiran VIP parti di media sosial demi banyaknya ‘like’ dan ‘share’ yang lebih bermotif kepada kepentingan peribadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here