umno

SHAH ALAM – Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata  menjatuhkan Umno-BN dalam PRU14 adalah merupakan satu kewajipan dan bukan lagi pilihan.

Menurut Faiz, rakyat kini sedang memerhati dan begitu mahukan satu gabungan pembangkang yang serius bagi menentang Umno-BN dan oleh sebab itu, Pakatan Harapan perlu menunjukkan kesediaan bagi menjayakan agenda ini.

“Pakatan Harapan telah membuat satu lonjakan bagi mengukuhkan agenda perjuangan ini dengan menandatangani satu perjanjian bertulis melibatkan PKR, DAP dan Amanah.

“Pas yang tidak pernah bercadang menyertai Pakatan Harapan adalah punca kepada perpecahan Pakatan Rakyat dan disebabkan itu kita perlu memandang ke hadapan,” katanya menerusi kenyataan media.

umno
Foto oleh FMT

Menurutnya, dengan mengekalkan Pas dalam kerajaan negeri, ia akan menyebabkan rakyat terus keliru memandangkan parti Islam itu kini sudah nyata cenderung kepada Umno-BN dengan tidak lagi bersuara menentang isu korupsi khususnya 1MDB.

Selain itu, Faiz menegaskan bahawa isu Adun Amanah yang mahukan jawatan Exco di dalam pentadbiran kerajaan negeri tidak pernah timbul berikutan parti itu tidak pernah membuat permintaan sedemikian.

“Memang benar Pas wujud dalam Pakatan Rakyat ketika PRU13 lalu, namun Amanah menjunjung perjuangan Pakatan Rakyat yang kini disambung dan diteruskan oleh Pakatan Harapan,” katanya.

Faiz menjelaskan bahawa pertembungan tiga penjuru dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini membuktikan bahawa Pas sebenarnya tidak lagi mahu bersama pakatan pembangkang.

Oleh itu, beliau menyarankan agar semua parti komponen Pakatan Harapan agar kembali ke meja rundingan secepat mungkin dan merangka strategi terbaik untuk berhadapan pertembungan tiga penjuru dalam mana-mana pilihan raya.

“Pakatan Harapan juga perlu segera merangka polisi dan rangka kerja bersama sebagai tawaran alternatif yang lebih baik kepada rakyat.

“Jika kesefahaman ini dapat dicapai oleh semua parti koalisi Pakatan Harapan, maka cadangan ‘snap election’ di Pulau Pinang pasti akan dihadapi secara bersama dan penuh semangat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here