Jakarta
Foto oleh PojokSatu.co.id

Beribu-ribu penunjuk perasaan beragama Islam di Indonesia berarak pada hari Jumaat ke Istana Presiden untuk menuntut peletakan jawatan Gabenor Jakarta, yang menurut mereka telah menghina Al-Quran.

Indonesia merupakan negara penduduk Islam paling ramai di dunia. Walaupun sebelum ini penganut Islam extrimis sering melancarkan pergolakan, namun bantahan berskala besar amat jarang berlaku.

Suasana tegang di Jakarta memaksa beberapa syarikat meminta pekerja untuk bekerja dari rumah kerana akses ke daerah perniagaan dihadkan. Malah kedutaan asing juga menyeru rakyat supaya berhati-hati.

Kehadiran tentera dan polis, dilengkapi dengan senapang, dilihat sedang meronda di pusat-pusat membeli-belah. Kira-kira seramai 18,000 anggota keselamatan dijangka akan ditempatkan di bandar yang dihuni 10 juta penduduk, kata polis.

Penunjuk perasaan yang diketuai oleh kumpulan yang dikenali sebagai Front Pembela Islam, menyeru gabenor Jakarta, Basuki Tjahja Purnama, seorang Kristian dan etnik Cina yang pertama dalam sejarah Indonesia, dipenjara kerana menghina Islam.

Mereka mendakwa beliau menghina Al-Quran apabila membalas serangan politik oleh pihak lawannya yang menggunakan petikan ayat dari Al-Quran untuk menyerangya.

“Dia bukan Islam tetapi dia menghina Al-Quran,” penunjuk perasaan Muhammad Said memberitahu Reuters.

Purnama berkhidmat sebagai timbalan gabenor semasa Presiden Joko Widodo menjadi gabenor Jakarta pada tahun 2012 hingga tahun 2014, dan beliau telah lama dilihat sebagai sekutu presiden.

Widodo akan bekerja seperti biasa pada Jumaat, dengan rancangan untuk melawat projek pembinaan kereta api di lapangan terbang di Jakarta, kata jurucakap presiden Johan Budi kepada wartawan.

Budi berkata Wiranto, Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan bersama Setiausaha Negara Pratikno dijangka akan bertemu wakil-wakil penunjuk perasaan tersebut.

Widodo dan Naib Presiden Jusuf Kalla menggesa bantahan secara aman dalam satu kenyataan bersama pada Khamis, berkata “semua orang perlu terus bekerja seperti biasa.”

Polis sedang menyiasat kes terhadap Purnama, yang telah memohon maaf atas kenyataannya. Widodo, seorang Muslim, telah berikrar untuk tidak campur tangan dalam apa-apa prosiding undang-undang terhadap Purnama, menurut Majlis Ulama Indonesia.

PILIHAN RAYA GABENOR

Kebanyakan penunjuk perasaan memakai jubah putih dan bersongkok berkumpul di Masjid Pusat Istiqlal, masjid terbesar di Indonesia, sebelum mula bergerak ke arah istana presiden, dengan jumlah mereka dijangka bertambah.

Pengkritik berkata kerajaan Widodo tidak melakukan usaha yang cukup untuk membendung ketegangan antara agama dan etnik yang memuncak menjelang pilihan raya gabenor pada bulan Februari.

Purnama, yang lebih dikenali sebagai “Ahok”, mempunyai reputasi sebagai seorang reformis. Dia akan bertanding semula melawan dua orang calon beragama Islam – Agus Harimurti Yudhoyono, anak bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan.

Etnik Cina merupakan lebih kurang satu peratus daripada 250 juta orang Indonesia, dan mereka biasanya aktif berpolitik.

Dalam pada itu masih ada yang membangkang protes jalanan ini terutama di media sosial dan terdapat beberapa kain rentang yang di pasang di jambatan menyeru untuk menghormati kepelbagaian.

“Agama atau etnik yang dimasukkan tidak penting, selagi anda boleh melakukan sesuatu yang baik untuk semua orang,” tulis salah satu daripada kain rentang tersebut.

Indonesia mengalami satu siri serangan militan Islam pada awal dekad yang lalu. Dalam kejadian yang paling serius, 202 orang terbunuh dalam pengeboman kelab malam di Pulau Bali pada tahun 2002.

Serangan di Jakarta pada awal tahun ini oleh penyokong Islamic State menimbulkan kebimbangan terhadap gelombang baru militan ganas.

LEAVE A REPLY