poligraf

UJIAN poligraf yang juga dikenali sebagai alat pengesan penipuan boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan kes-kes pertikaian, perbalahan dan sebagainya, dari sekecil-kecil kes sehinggalah sebesar-besarnya.

Di peringkat awal sesuatu siasatan, ia amat berguna dan berkesan dalam menentukan arah tuju siasatan bagi mendapatkan bukti yang diperlukan.

Tambahan pula, ujian itu hanya akan dikendalikan oleh yang berkelayakan dan diiktiraf sahaja.

Secara ringkasnya, pengujian poligraf ialah menggunakan alat pengesan khas yang disambungkan kepada beberapa bahagian badan seperti jari tangan, dada dan lengan.

Alat ini kemudiannya disambungkan kepada komputer dan setelah penyesuaian dilakukan terhadap subjek (individu yang hendak diuji), subjek akan disoal dengan soalan yang hendak berkenaan.

Alat ini akan mengukur perubahan yang berlaku pada anggota badan.

Jika seseorang itu sedang berbohong, jari-jemari tangan akan mengeluarkan kuantiti air yang berbeza, kadar degupan jantung akan berubah dan pastinya tekanan darah juga akan berubah.

Semua perubahan ini akan direkodkan dan terjemahkan ke dalam bentuk graf matematik.

Graf ini berbentuk polinomial iaitu berbagai jenis lekuk (memberikan nama poligraf) yang boleh dipaparkan di skrin komputer dan kemudian dicetak.

Daripada graf inilah boleh diketahui sama ada subjek berbohong atau tidak.

Persoalannya di sini, bersediakah kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi membolehkan ujian poligraf ini diterima pakai dan dilaksanakan?

Adakah rakyat negara ini sudah bersedia melakukan ujian poligraf jika diminta berbuat demikian?

Merujuk kepada perkembangan semasa di negara ini, sudah sampai masanya pengujian poligraf digunakan dengan meluas, terutamanya dalam sistem perundangan negara.

Ujian poligraf boleh juga disarankan dibuat kepada ahli politik dan juga majikan dalam memastikan kejujuran mereka, namun semuanya bergantung kepada penerimaan dan undang-undang sesebuah negara.

Jika lihat di luar negara, ujian poligraf pernah dilakukan oleh seorang ahli politik di United Kingdom (UK) bagi membuktikan kepada masyarakat mengenai kejujuran dalam pentadbirannya.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, ujian poligraf telah lama diguna pakai, namun teknik ini agak baharu di rantau Asia Pasifik.

Di Singapura, keputusan ujian poligraf masih belum dapat diterima di mahkamah walaupun ia sering dijalankan di negara tersebut.

Berbeza pula di Jepun, Taiwan dan AS, perundangan negara-negara berkenaan telah menerima keputusan ujian poligraf sebagai bukti dalam menyelesaikan sesuatu kes di mahkamah.

Adakah Malaysia sudah bersedia untuk turut melaksanakan sekali gus menerima keputusan ujian tersebut?

Dalam konteks Malaysia, pasti setakat ini masih ada batasan dalam penentuannya.

Setakat ini perundangan negara mampu lagi untuk menyelesaikan segala pertikaian yang berlaku termasuk dalam perkara yang membabitkan politik.

Namun, dalam beberapa perkara jika dituntut oleh pihak-pihak tertentu, perlaksanaan ujian poligraf tidak dinafikan boleh dikendalikan serta memerlukan beberapa kaedah yang tepat bagi mengelakkan ketidakadilan.

Di Malaysia, ujian poligraf dikendalikan oleh beberapa syarikat terkemuka dalam menentukan rekod lampau serta latar belakang seseorang pekerja.

Ianya memberi satu kelebihan kepada mereka yang tidak bersalah di mana keputusannya dapat membersihkan nama individu tersebut.

Bagi pekerja, segala rekod lampaunya akan dipadam sekiranya ia tidak bersalah dalam satu-satu pertuduhan.

Syarikat terkemuka seperti minyak dan gas, percetakan, keselamatan dan farmasi menggunakan kaedah ini sebagai satu cara memastikan tiada penyelewengan dan menyelesaikan masalah dalaman serta pengambilan pekerja.

Penyelidikan oleh National University of Singapore Business School pada 2011 mendapati, sebanyak 82.3 peratus pemohon pekerjaan melakukan penipuan maklumat bagi mendapatkan pekerjaan iaitu latar belakang, pengalaman kerja, pendidikan dan kebolehan.

Di negara ini, terdapat beberapa kes yang menuntut kepada cadangan penggunaan ujian poligraf namun tidak dilaksanakan.

Pada 3 Mei 2011, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menolak cabaran Datuk Shazryl Eskay Abdullah supaya menjalani ujian poligraf bagi memastikan beliau tidak bercakap bohong dalam isu video seks yang didakwa membabitkan Anwar.

Anwar menyifatkan isu ujian poligraf sebagai satu perkara yang tidak perlu diberi perhatian.

Shazryl Eskay; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim yang dikenali sebagai trio Datuk ‘T’ pada 21 Mac 2011 telah mendedahkan kepada sekumpulan wartawan rakaman video seks kontroversi yang didakwa membabitkan Anwar.

Datuk Husam Musa turut mencadangkan trio Datuk ‘T’ menjalani ujian poligraf bagi membuktikan mereka bercakap benar.

Shazryl Eskay menyatakan kesediaannya mengambil ujian poligraf bagi memastikan beliau tidak bercakap bohong dalam isu video seks yang didakwa melibatkan Anwar.

Bagaimanapun, Shazryl Eskay menegaskan akan hanya menjalani ujian poligraf itu sekiranya Anwar turut sama menjalani ujian tersebut.

Pada 2 Mei 2013, Datuk Husam Musa sendiri tidak berani menyahut cabaran bekas pegawai khasnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz untuk membuat ujian poligraf.

Syed Azidi yang juga penulis blog Kickdefella mencabar Husam menjalani ujian poligraf untuk membuktikan apa yang didedahkan dalam buku Kenali Husam: Politik Wang dan Kronisme tidak benar.

Daripada beberapa kes berkenaan, pastinya timbul persoalan, kenapa pihak terbabit menolak ujian poligraf?

Adakah mereka benar bersalah dan tidak mahu melakukan ujian tersebut?

Pada 25 Mei 2017, kerajaan memaklumkan akan meneliti cadangan penggunaan alat uji bohong atau poligraf sebagai salah satu mekanisme pencegahan untuk menangani gejala rasuah dalam perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa memaklumkan, pihaknya bersedia untuk mengkaji sebarang cadangan yang dikemukakan mana-mana pihak bagi meningkatkan integriti dalam kalangan penjawat awam.

Walaupun masih di peringkat cadangan, namun ia menunjukkan kesungguhan kerajaan memperkenalkan apa jua mekanisme yang dapat membanteras rasuah di negara ini khususnya melibatkan kakitangan awam.

Pendekatan baharu itu sekiranya dilaksanakan akan dapat mengenal pasti calon penjawat awam yang berpotensi terlibat dengan rasuah dari peringkat awal lagi.

Langkah memperkenalkan penggunaan poligraf juga secara tidak langsung akan memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap sektor awam.

Umum sedia maklum integriti 1.6 juta penjawat awam kini tercemar gara-gara penglibatan segelintir pegawai dan anggotanya dengan rasuah, lebih-lebih lagi apabila berlaku tangkapan demi tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini.

Apa yang pentingnya, mesin tidak berbohong, yang berbohong adalah orangnya.

Sudah sampai masanya alat ini tidak digunakan secara tertutup seperti oleh polis dan kastam sahaja.

Malah, ia amat diperlukan di pejabat agama dan mahkamah memandangkan bilangan kes yang tertunggak lama adalah agak tinggi.

Cuma persoalannya adalah, sejauh manakah kita bersedia untuk mengetahui kebenarannya?

Melalui ujian poligraf, pembohong tidak lagi akan diangggap penipu dan segala masalah mungkin dapat dirungkai serta kerahsian tidak lagi perlu disembunyikan.

Jadi, bersediakah kerajaan Malaysia untuk menguatkuasakan penggunaan ujian poligraf di negara ini?

Rakyat pasti menantikannya keputusannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here