turun

Jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, akan turun sebagai pemain pilihan pertama acara perseorangan lelaki pada temasya Sukan Olimpik Rio, bulan depan.

Kedudukan sebagai pemain pilihan itu dibuat berdasarkan kemas kini terbaru ranking dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini, yang menyaksikan beliau kekal sebagai pemain nombor satu dunia.

Dua musuh utama Chong Wei dari China, Chen Long dan Lin Dan, masing-masing diletakkan sebagai pilihan kedua dan ketiga.

Sementara itu, dalam acara perseorangan wanita, juara dunia dua kali, Carolina Marin dari Sepanyol akan memegang status sebagai pilihan pertama diikuti, pemain China, Wang Yihan dan juara Olimpik London 2012 juga dari China, Li Xuerui.

Pasangan Korea Selatan yang juga juara Terbuka Indonesia, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong akan mengetuai cabaran dalam acara beregu lelaki, manakala beregu Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi sebagai pilihan pertama beregu wanita.

Image via Malay Mail Online

Juara bertahan dalam acara beregu campuran, Zhang Nan-Zhao Yunlei dari China diletakkan sebagai pilihan pertama. Undian untuk acara badminton akan berlangsung di lokasi rasmi pertandingan, Riocentro – Pavilion 4 (Barra Zone), Rio de Janeiro, Brazil, Selasa ini.

Saingan bagi acara perseorangan lelaki bakal menyaksikan penyertaan 41 pemain, yang dibahagikan kepada 13 kumpulan, manakala 40 pemain bagi perseorangan wanita, turut dibahagikan 13 kumpulan.

Setiap kumpulan akan terdiri daripada seorang pemain pilihan. Untuk saingan beregu pula, sebanyak 16 pasangan akan mengambil dalam setiap acara dengan dibahagikan kepada empat kumpulan.

LEAVE A REPLY