Tunggu

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menyatakan bahawa pihaknya akan mengambil langkah tunggu dan lihat bagi menahan ahli politik berprofil tinggi bagi mengelk dituduh terlibat dalam agenda politik.

“Tunggu sehingga selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) – itu janji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada rakyat negara ini.”

Mengesahkan ada beberapa kes berprofil tinggi melibatkan ahli politik sedang disiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata agensi itu perlu berhati-hati sebelum bertindak bagi mengelak dituduh terlibat dalam politik.

“Siasatan telah pun dimulakan, tetapi kami tidak mahu diheret dalam kancah politik kerana setiap kes pasti akan jadi modal pilihan raya,” ujarnya dipetik Astro Awani.

Dzulkifli membuat kenyatan itu ketika bertemu ketua-ketua pengarang media tempatan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga berkata tindakan tegas akan diambil tanpa teragak-agak selepas PRU14 kerana SPRM perlu kekal sebagai agensi yang melindungi kepentingan rakyat.

Katanya, apabila parlimen dibubarkan untuk membolehkan PRU14 diadakan nanti, beliau akan mengeluarkan kenyataan keras.

“Ini kerana ahli politik perlu terus bersih, dan ada yang dapat kuasa kemudian jadi korup,” katanya.

Beliau turut menegaskan mana-mana pemimpin yang terlibat dalam salah guna kuasa akan diheret ke muka pengadilan walaupun mereka memenangi kerusi dalam PRU nanti.

Dzulkifli turut menasihati orang ramai supaya bijak menilai dan memilih calon supaya hanya yang benar-benar bersih serta bebas daripada unsur rasuah atau salah guna kuasa diangkat menjadi pemimpin.

Katanya, nasihat itu dibuat tanpa sebarang pengaruh atau agenda peribadi.

“Saya tidak ada apa-apa agenda peribadi dan saya mahu SPRM dihormati dan disegani. Saya juga tidak mendapat apa-apa arahan daripada mana-mana pemimpin atau ahli politik,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here