Tun Mahathir

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mempersoalkan sikap Tun Mahathir yang ‘membuat pusingan U secara mendadak dan drastik’ terhadap DAP setelah mengutuk dan benci kepada parti itu selama lebih 44 tahun.

Mengulas ucapan bekas perdana menteri itu di Gelang Patah, Johor Bahru malam tadi, beliau berkata pendirian Dr Mahathir mengenai DAP akhir-akhir ini amat jauh berbeza dengan pada Mei 2013 di mana beliau melabelkan penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai seorang rasis, yang patut ‘dikebumikan’ saja di sana.

Aneh sungguh apabila malam tadi, ketika berucap di Gelang Patah, Dr Mahathir membuat pusingan U daripada pendirian beliau pada Mei 2013 itu.

Bolehlah kita andaikan bahawa dalam keadaan beliau yang terdesak, Dr Mahathir sanggup melakukan apa saja kerana beliau sedar bahawa jika tidak mendapat sokongan kaum Cina, partinya (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pakatan Harapan akan dihapuskan pada pilihan raya umum akan datang kerana sekarang pun, mereka sudah kehilangan sokongan pengundi Melayu, kata Salleh dalam catatan terbaru dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my.

Katanya Dr Mahathir tidak henti-henti mengutuk DAP dan penyokongnya daripada kaum Cina dari 1969 hingga 2013.

Pada 1969, Dr Mahathir berkata beliau tidak memerlukan sokongan orang Cina untuk memenangi pilihan raya (umum) dan dengan undi orang Melayu sahaja, boleh boleh menang. Akibatnya, orang Cina membuat keputusan memberi undi mereka kepada PAS dan Yusof Rawa mendapat kemenangan.

Kemudian, Dr Mahathir bertindak balas dengan menulis buku yang berpendirian anti-Cina, ‘The Malay Dilemma’, yang diharamkan kerajaan, kata beliau.

Salleh seterusnya berkata selepas Pilihan Raya Umum 2013, Dr Mahathir menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana katanya, beliau hanya membuang masa melayan pengundi Cina sebab mereka tidak akan sekali-kali mengundi Barisan Nasional dan lebih baik sahaja beliau memberi fokus terhadap pengundi Melayu, yang menjadi tulang belakang bagi sokongan terhadap UMNO.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here