alif satar
Cover image via star.com

Pada awal kemunculan Alif Satar sebagai peserta One In A Million (OIAM) musim pertama pada 2006, dia hanyalah seorang anak muda berusia 16 tahun. Dia menamatkan perjuangan sehingga layak meraih tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian yang menawarkan hadiah utama bernilai RM1 juta tersebut.

Masih segar dalam ingatan, pemilik nama lengkap Muhammad Alif Mohd. Satar itu beraksi penuh bertenaga saban minggu di pentas OIAM.

Pernah sekali, Alif mendendangkan lagu asal dendangan Christina Aguilera berjudul Ain’t No Other Man. Terdetik dalam hati mengiyakan bakat pemuda berasal dari Pulau Pinang itu. Dahulu, fizikalnya sedikit kurus berbanding sekarang. Apabila tersenyum, jelas kelihatan deretan pendakap gigi yang digunakan pada ketika itu.

Pasca tamatnya kemudi bakat dalam OIAM, perjalanan kerjaya Alif bergerak pada kadar yang sederhana.

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Masa bergilir dan 10 tahun sudah pun berlalu. Survival Alif sebagai seorang pelaku seni berlangsung tanpa tersekat. Dia kini bukan sahaja seorang penyanyi, bahkan pengacara dan juga pelakon yang digilai ramai.

Penangan membintangi drama popular Dia Semanis Honey (DSH), transformasi seninya berputar ibarat roller coaster yang kini meletakkan dirinya di puncak populariti.

Bertemu dengan lelaki yang menginjak usia 26 tahun itu pada sidang akhbar Anugerah Skrin 2016 (ASK2016) di Hotel Renaissance Kuala Lumpur, baru-baru ini, dia bercerita panjang mengenai perkembangan jalur seninya.

“Saya masih ingat, sewaktu sedang menjayakan persembahan untuk pembukaan konsert David Archuleta pada 2011. Ketika saya sedang menyanyi, ada beberapa pekerja sedang membetulkan lampu dan peralatan pentas lain seperti memberi gambaran bahawa persembahan saya langsung tidak penting.

“Bukan berniat untuk mendabik dada tetapi kini rezeki saya dalam bidang seni semakin bertambah. Banyak yang telah saya belajar selepas satu dekad berada dalam industri. Alhamdulillah, ini semua rezeki anak dan saya akan terus mengembangkan bakat pada tahap yang lebih tinggi,” ujarnya yang kini bergelar suami kepada Shadila Halid dan bapa kepada Alisha, setahun.

Harga tinggi

Bakal menerima cahaya mata kedua tahun depan, kerjaya pelantun lagu Jangan Nakal itu dalam bidang pengacaraan bermula apabila diberi peluang mengacarakan program Remaja bersama Juliana Evans sekitar 2007.

Sejak daripada situ, dia tidak menoleh ke belakang. Sehingga kini, Alif sudah diberi kepercayaan mengacarakan program-program popular seperti Bintang Kecil, Clever Girl dan Akademi Fantasia 2016.

Terbaharu, Alif diberi peluang mengendalikan acara berprestij ASK2016 yang bakal berlangsung pada 18 November nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mengaku teruja dalam masa sama gementar, Alif tidak keseorangan. Dia turut dibantu oleh Fiza Sabjahan, Sarimah Ibrahim, Haiza, Ajak Shiro, Mira Filzah, Ammar, Issey Fazlisham, Azrel Ismail dan Puteri Aishah yang akan bertindak sebagai pengacara bersama.

“Saya gementar kerana ASK merupakan sebuah majlis yang berprestij. Bayangkanlah, saya mengendalikan sebuah acara mengiktiraf bakat dan karya pelaku seni yang menjadi idola saya selama ini.

“Ini adalah satu penghormatan besar, terutama apabila Sarimah Ibrahim juga akan membuat kemunculan semula dalam acara itu selepas hampir empat tahun berehat daripada bidang pengacaraan,” ujarnya.

Dalam ligat mengatur kata, Alif tenang saat disogok persoalan mengenai kadar bayarannya kini yang didakwa sudah melambung tinggi.

“Sejujurnya, saya meletakkan harga sesuai dengan komitmen yang diberikan dalam setiap pekerjaan. Bagi saya, mudah sahaja. Kalau sesuatu projek memerlukan saya untuk memberikan komitmen 100 peratus, itulah saya akan berikan.

“Saya tidak mahu bersikap tamak dengan mengambil semua peluang yang ada depan mata sedangkan saya tidak mempunyai masa untuk melunaskannya.

“Kalau orang mahukan saya terlibat dalam sesuatu projek, saya anggap itu sebagai satu pelaburan. Saya akan berikan komitmen setimpal dengan bayaran yang dikenakan,” ulasnya.

Tambah Alif lagi, sehingga kini perjalanan seninya bergerak pada fasa yang amat terancang dan situasi tersebut berkat disiplin yang diamalkan dari dahulu hingga kini.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah membuat onar dalam mana-mana projek atau produksi. Kalau sudah terikat dengan sesuatu perkara, saya akan beri komitmen yang tidak berbelah bahagi. Pada masa yang sama, saya ingin mengikut jejak langkah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang mampu melakukan hampir semua perkara dalam bidang seni.

Berbicara lanjut, Alif turut mengesahkan bahawa drama yang membakar popularitinya, DSH versi teater akan ke pentas Istana Budaya tahun depan.

Teater muzikal

Bakal memulakan latihan sekitar hujung tahun ini, dia cukup teruja untuk ke pentas berprestij tersebut dan sekali lagi bekerja bawah arahan Micheal Ang.

“Pada Disember nanti, masa saya akan dihabiskan untuk sesi latihan pementasan teater muzikal DSH. Ini adalah tanggungjawab yang besar buat saya.

“Saya sangat teruja untuk berlakon teater kerana pementasan kali ini berkonsepkan muzikal. Saya akan menyanyi, menari dan berlakon. Teater muzikal DSH akan menjadi teater pembukaan Istana Budaya bagi tahun 2017,” kongsinya.

Sering menghiasi kaca televisyen, aktor yang baru sahaja muncul menerusi filem Aliff Dalam 7 Dimensi itu teliti dalam merancang pergerakan seninya. Dia tidak mahu menghampakan mana-mana pihak dek keterlaluan mengejar banyak komitmen dalam satu-satu masa.

“Pihak yang pernah bekerja dengan saya tahu bagaimana saya. Kalau sudah diberi sesuatu tugas, saya akan buat rujukan dan tidak akan pernah sesekali lewat sampai ke sesi penggambaran, perbincangan atau fotografi. Itu cara kerja saya.

“Saya juga tidak mahu merosakkan hubungan baik dengan mana-mana pihak hanya kerana mengejar wang. Biarlah segala pekerjaan diselesaikan satu demi satu. Insya-Allah, sikap itu akan saya kekalkan,” getusnya.

Melencong sedikit daripada cabang seni, Alif turut berkongsi tentang perkembangan restoran miliknya, Padang Kontena yang akan beroperasi bermula bulan Disember ini di Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya memang sudah lama memasang niat untuk menceburi bidang perniagaan. Konsep makanan di restoran berkenaan adalah berasaskan masakan dari Pulau Pinang,” tuturnya yang akan melancarkan jenama Style, sebuah rangkaian produk pakaian bayi tidak lama lagi.

Baca lagi: AF2016: Alif Satar Gandingan Zizan Razak

LEAVE A REPLY