trump

WASHINGTON: Jutawan Republikan Donald Trump berkata dalam satu wawancara pada Ahad, beliau akan melepaskan gaji $400,000 sebagai Presiden Amerika Syarikat.

“Saya tidak akan mengambil gaji itu. Saya tidak akan mengambilnya,” katanya kepada rancangan ’60 minutes’ CBS, mengesahkan janji yang dibuat beliau dalam satu video kempen September lalu.

“Saya rasa, mengikut undang-undang, saya perlu ambil $1. Jadi, saya akan ambil $1 setahun,” katanya kemudiannya.

Menerusi wawancara televisyen pertama beliau sebagai presiden pilihan, Trump dilihat berusaha meyakinkan rakyat Amerika yang bimbang dengan tindakan keras beliau terhadap golongan minoriti.

Dalam masa sama, beliau turut memberi jaminan kepada penyokong tegarnya yang beliau tidak akan mengecewakan mereka berhubung isu penggunaan senjata, pengguguran atau imigresen.

download-2

Beliau yang berdepan protes berhari-hari susulan kemenangannya pada 8 November lalu memberitahu penunjuk perasaan, mereka tiada sebab untuk merasa takut dengan pemilihannya sebagai presiden.

“Jangan takut. Kita akan bangkitkan semula negara kita,” katanya dalam wawancara itu.

Trump berkata beliau “sedih” dengan laporan yang menyatakan kejadian gangguan dan ugutan terhadap minoriti makin melonjak sejak kemenangan beliau – dan menggesa ia dihentikan.

“Saya tidak suka mendengarnya. Saya sangat sedih mendengar perkara itu,” kata Trump ketika ditanya mengenai laporan berkenaan.

“Kalau ini boleh membantu, saya akan katakan begini, dan saya akan katakan tepat di hadapan kamera ini: Hentikan.”

Jutaan orang dijangka menonton rancangan ’60 minutes’ bagi memahami bagaimana jutawan popular itu akan mentadbir negara.

Mereka juga mahu melihat sejauh mana Trump bercadang untuk menukar slogan kempen beliau yang lantang kepada dasar negara yang tegas dan ketat.

Trump telah memberikan isyarat yang jelas kepada pengundi teras beliau berhubung beberapa isu utama.

Beliau mengesahkan rancangan untuk mengusir atau memenjarakan sehingga tiga juta pendatang tanpa izin – mereka yang mempunyai rekod jenayah, katanya.

trump-wall-2

Beliau juga menegaskan tetap berpegang pada janjinya untuk membina tembok di sempadan Mexico – walaupun katanya ia mungkin termasuk membina pagar.

 Sementara itu, mengenai isu Mahkamah Agung – di mana satu daripada sembilan kerusi kosong ketika ini – Trump berikrar hakim yang akan dinamakannya akan menyokong sekatan terhadap pengguguran dan mempertahankan hak perlembagaan untuk menyimpan senjata.

Tetapi, beliau juga memberi isyarat yang beliau tidak akan membatalkan undang-undang yang membenarkan amalan perkahwinan sejenis di Amerika Syarikat.

“Undang-undangnya begitu. Perkara itu telah selesai di Mahkamah Agung,” kata Trump ketika ditanya jika dia menyokong ‘kesaksamaan dalam perkahwinan’. ” Dan saya tiada masalah dengannya.”

LEAVE A REPLY