Presi­den Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menggantung usaha untuk mendapatkan kelulusan Kongres bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum Donald Trump mengambil alih kedudukannya di White House.

 

Pentadbiran Obama dalam satu kenya­taan berkata, untuk itu ‘nasib’ TPPA adalah terpulang kepada budi bicara Trump dan wakil-wakil Republikan.

 

Tambah kenyataan itu, Obama akan cuba menjelaskan keadaan sebenar kepada para pemimpin daripada 11 negara lain berkaitan TPPA minggu depan apabila beliau menghadiri sidang kemuncak serantau di Peru.

 

Setiausaha Kabinet Obama dan pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) bertungkus lumus melobi Kongres bagi meluluskan perjanjian TPPA selepas pilihan raya Presiden namun kemenangan mengejut Trump telah mengu­bah peranca­ngan Obama.

 

“Kami telah be­kerja rapat dengan Kongres bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak dan bersedia untuk bergerak ke hadapan, tetapi ini adalah suatu proses perundangan dan terpulang kepada para pemim­pin Kongres sama ada mahu atau bila langkah ini digerakkan,” kata jurucakap USTR, Matt McAlvanah.

 

Rabu lalu, Pe­mimpin Majoriti Senat Republikan, Mitch McCon­nell berkata, pihaknya tidak akan mencampuri sebarang urusan berkaitan TPPA sebelum perlantikan Trump sebagai Presiden dan nasib TPPA bergantung kepada pemimpin berkenaan.

 

Trump sebelum ini menyatakan pendiriannya dalam kempen Presiden dan mengatakan TPPA hanyalah ‘bencana’ dan ‘penca­bulan kepada AS’.

 

 

LEAVE A REPLY