tomok
Cover image via Kosmo

Menyelak jilid perjalanan penyanyi Tomok sejak awal pembabitannya lewat tahun 1990-an bersama New Boyz sehingga ke hari ini, terlalu banyak jerih-perih telah dilaluinya. Pernah dicemuh dan diherdik kerana menyanyikan lagu ‘tangkap leleh’ dengan nada vokal yang disifatkan sebagai sengau oleh segelintir pihak, selaku vokalis band tersebut, Tomok teguh melangkah.

Hasilnya, lagu hit Sejarah Mungkin Berulang begitu sinonim dengan dirinya dalam kalangan peminat.

Bertemu dengan pemilik nama sebenar, Shah Indrawan Ismail itu dalam satu sesi fotografi baru-baru ini, susur survival dari era New Boyz sehingga bergerak secara solo memperjuangkan jalur muziknya kini mengisi penceritaan. Sepanjang 17 tahun bergelar penyanyi, tempoh berkenaan banyak membentuknya menjadi pemuzik yang lebih baik dari semasa ke semasa.

“Penyanyi sekarang beruntung kerana banyak medium boleh digunakan untuk mencipta nama, mereka ada Instagram atau YouTube. Sekelip mata sahaja mereka boleh dikenali ramai. Ramai antara mereka yang timbul daripada medium tersebut memang berbakat. Bagaimanapun, ramai juga hanya menjadi one hit wonder.

“Berbeza dengan zaman saya dengan New Boyz dahulu yang sangat sukar untuk membina nama. Walaupun untaian lagu kami popular, kami juga banyak menerima kecaman daripada peminat yang mempunyai masalah dengan sengauan vokal saya dan muzik ‘kugiran kampung’ New Boyz.

“Namun, kami tidak mudah mengalah. Zaman beredar. Kalau dahulu album boleh dijual ratusan ribu unit, sekarang ingin mencapai angka 10 ribu pun sukar. Sekarang, saya seorang sahaja yang masih berjuang daripada New Boyz. Namun, saya sangat merindukan rakan-rakan daripada band itu,” lunak bicara juara program realiti, One In A Million (OIAM) musim ketiga itu membongkar hatinya.

Terus berjuang

Biarpun New Boyz tidak lagi aktif, Tomok menyifatkan api muzik band berkenaan akan terus disemarakkan meskipun realitinya, rakan-rakan lain sudah mempunyai komitmen hidup masing-masing.

“Saya pernah berada di puncak dan jatuh jauh bawah paras populariti. Pengalaman banyak mengajar untuk tidak berputus asa walau setinggi mana dijulang atau seteruk mana dikritik.

“Berada pada fasa sekarang, bukan populariti yang saya kejar. Apa yang saya mahukan adalah berkongsi muzik yang mempunyai kualiti dengan peminat. Niat untuk kejar populariti sudah tiada,” getusnya.

Mengakui nuansa industri muzik tanah air telah banyak berubah, Tomok menetapkan dalam jiwa untuk terus mencuba perkara baharu yang boleh diterokai dalam muzik. Baginya, cita rasa pendengar sentiasa berubah.

Tomok tetap merancang untuk menzahirkan album fizikal, namun menunggu waktu yang sesuai untuk merealisasikan perkara tersebut.

“Buat masa sekarang, saya sedang mengumpul material untuk menghasilkan album baharu. Saya juga menunggu masa yang sesuai untuk meletakkan album di pasaran.

“Duit menang OIAM dulu masih ada untuk tujuan bikin album. Saya yakin, ramai peminat yang sangat menghargai penghasilan sesebuah album kerana ia mempunyai nilai yang tersendiri walaupun pada zaman sekarang, album ataupun lagu lebih bersifat digital,” ulasnya.

Tidak pernah meragui bidang yang memberikan kehidupan buatnya, Tomok sedar sebagai penyanyi, dia harus menunaikan tanggungjawabnya dengan naskhah yang berkualiti.

Inspirasi Orang Utan

Sebagai persediaan untuk penghasilan album baharu, Tomok mendahulukan kelahiran dengan single baharu berjudul Senyuman Manismu. Lagu tersebut mempunyai sedikit perbezaan dari segi genre muziknya sebelum ini. Kali ini, pelantun lagu Rindu Terhenti itu mencuba cabang muzik baharu iaitu reggae.

“Melodi lagu ini dicipta tiga bulan sebelum lirik ditulis. Kalau sebelum ini ramai yang mengenali saya dengan lagu-lagu bersifat pop balada, kali ini saya mempertaruhkan lagu berentak reggae,” katanya.

Diajak berbicara mengenai inspirasi penghasilan lirik lagu tersebut, Tomok bercerita: “Liriknya ditulis oleh saya dan beberapa rakan melalui nama pena Papompo. Kami mendapat inspirasi menulis lirik lagu ketika berada di Sarawak selepas melawat kawasan Orang Utan.

Pendek kata, lirik lagu tersebut tercetus selepas melihat kegembiraan yang terpancar daripada senyuman Orang Utan yang dilawatinya.

“Melihat haiwan tersebut tersenyum membuatkan idea penulisan lirik datang secara tiba-tiba, walhal selama tiga bulan saya tunggu untuk mendapat inspirasi menulis. Lebih kurang sejam sahaja masa yang diambil untuk menyudahkan lirik tersebut.”

Menariknya, Tomok memilih untuk mempromosikan single tersebut melalui metod tersendiri iaitu mewujudkan pertandingan di laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

Para peminat boleh menonjolkan kreativiti mereka menerusi hashtag #SMTomok dengan menyanyikan lagu tersebut mengikut versi tersendiri.

Peminat dengan nyanyian paling kreatif berpeluang untuk memenangi hadiah berupa GoPro Hero yang akan ditentukan pada penghujung bulan Disember.

Baca lagi: Tomok Kejar Cita-Cita

LEAVE A REPLY