Toleransi

CERITA toleransi di negara ini bukan kisah baru yang harus mula dibincangkan oleh mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan atau kerajaan.

Ia juga tidak perlu dipertikaikan oleh apa sahaja kaum di negara ini demi perpaduan malah kesatuan masyarakat berbilang bangsa yang sudah hidup bersama sejak puluhan tahun.

Sejarah juga telah membuktikan banyak isu serta pergaduhan kaum di negara ini berpunca dari ketiadaan persefahaman atau rasa penting diri yang akhirnya tidak membawa keuntungan kepada sesiapa.

Cakaplah apa sahaja insiden perbalahan kaum termasuk isu 1969, kes lontaran kepala babi di masjid, gangguan provokasi dan terbaharu di Austin Perdana, Johor Bahru sebenarnya akibat baran yang tidak boleh dikawal.

Jadi di mana silapnya?

Dalam isu ini, sifat panas baran diandaikan penyakit psikologi namun ia menjadi sesuatu yang normal walaupun diakui tidak baik memberi banyak kesan buruk pada kehidupan kita.

Individu yang mempunyai sifat ini seharusnya tidak terlalu mengikut situasi sekiranya rasa tergangu.

Ramuannya mudah, individu seharusnya tidak melepaskan kemarahan namun mencari saluran mereda perasaan selain bersikap proaktif serta jangan mengharapkan orang lain membaca fikiran atau mengetahui apa yang kamu inginkan.

Sentiasa beritahu pada diri untuk belajar jujur pada diri sendiri dan orang lain tentang apa yang kamu inginkan dan perlukan dalam kehidupan seharian kamu.

Tidak salah sebenarnya untuk kita mengetepikan perasaan marah itu dan sentiasa memikirkan cara terbaik melupakan sesuatu isu dengan rasional.

Bagaimanapun, kita juga mengakui, pengaruh media sosial seperti Twitter dan Facebook terutamanya menjadi platform membakar provokasi masyarakat sendiri.

Tidak kira apa kaum yang terdedah dengan pendapat yang dilontarkan di media sosial pasti ‘panas’ dan berterusan membalas dengan hujah yang tidak ada sesiapa pun boleh menghakiminya.

Ia seolah-olah tidak boleh dikawal lagi, ia membarah dan menunggu masa untuk meledak jika ada individu yang mencetus komen provokasi sekali gus tidak mustahil menimbulkan pergaduhan besar di alam sosial.

Pergaduhan itu sebenarnya menjadi api yang membakar perasaan dan membawa perbalahan ke alam nyata lantas pergaduhan fizikal mungkin dirasakan penyelesaian terbaik untuk memuaskan hati masing-masing.

Mengapa masih berselisih faham selepas berpuluh tahun kita Merdeka?

Mudah untuk menuding jari dan meletakkan kesalahan di bahu sesiapa. Tidak susah untuk menuduh mana-mana kaum atau parti politik atau kerajaan sendiri sebagai punca isu itu berlaku.

Cubaan provokasi oleh pihak-pihak tertentu dan mahu melihat negara kucar-kacir tidak boleh dinafikan kewujudannya namun paling penting semangat kesepakatan kaum yang benar-benar padu di dalam hati masing-masing sebagai harus diletakkan sebagai keutamaan.

Ketika memetik buku ‘’Memoir Seorang Pejuang’’ yang ditulis oleh bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Allahyarham Tan Sri Aishah Ghani, pembaca sudah pasti akan tersentuh dengan kisah-kisah yang diceritakan mengenai semangat perpaduan yang ditunjukkan penduduk berbilang kaum ketika itu.

Menurut Allahyarham, walaupun situasi mencemaskan, masih ada individu yang berfikiran rasional untuk menyelamatkan pihak lain walaupun daripada kaum berlainan.

Antara kisah-kisah itu, adalah seorang setiausaha di ibu pejabat UMNO telah diselamatkan seorang penjaga kedai Cina di Chow Kit dengan disorokkan di celah gulungan kain apabila beberapa orang yang memegang kayu mahu memukul wanita itu.

Aishah juga menceritakan bagaimana rumahnya di Jalan Daud, Kampung Baru, Kuala Lumpur dimasuki seorang pemuda Cina yang lari lintang-pukang dengan tidak berkasut.

“Saya terus meminta pemuda Cina itu supaya jangan keluar rumah sehingga saya dapat menghubungi polis atau kenderaan askar yang boleh membawanya keluar dengan selamat.

“Dalam pada itu, saudara mara yang datang berkumpul di rumah saya telah membawa beberapa orang kanak-kanak Cina, mereka disuruh memakai baju kurung supaya tidak dikenali sesiapa. Salah seorang dipanggil dengan nama Minah sahaja,” tulisnya.

Dalam memoir itu, Aishah menegaskan, kejadian itu merupakan satu amaran besar kepada semua pihak supaya jangan lagi memarakkan api perkauman.

Menyusuri isu toleransi kaum yang seharusnya tidak lagi menjadi isu, menyorot kembali kejadian lempar kon di Masjid Austin Perdana, Johor Bahru atau membunyikan hon tanpa henti di luar masjid pada waktu solat Jumaat serta lain-lain lagi.

Jangan ungkit-mengungkit pelbagai kes termasuk yang berlaku berpuluh-puluh tahun dahulu dengan niat untuk mengingati kembali kenangan pahit krisis kaum di negara ini.

Buang peristiwa hitam pergolakan antara kaum, jadikan setiap isu hanya kes terpencil yang tidak harus diperbesarkan.

Mudahnya jika kita menjadi bangsa Malaysia yang pemaaf dan hidup di bawah langit toleransi

Bukannya menjadi masyarakat yang menoleh dengan muka bengis dan menjerit ‘Lu langsi, lu mati’ (Kamu kurang ajar, kamu mati) seperti dialog dalam sebuah filem terbitan David Teo sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here