TNB
Foto oleh FMT

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang mengambil beberapa langkah wajar untuk mengurangi dan menyelesaikan masalah berikutan proses menaik taraf sistem pengebilan baharu, menjelang akhir November ini.

TNB dalam kenyataan hari ini berkata sistem berkenaan yang dinaik taraf sejak Julai lepas melibatkan 8.5 juta pelanggannya di negeri seluruh semenanjung.

“Peningkatan sistem pengebilan baharu ini mungkin menyebabkan kesulitan kepada sebilangan pelanggan dan ia amat dikesali.

“Diharap mereka yang terlibat faham bahawa cabaran-cabaran awal pasti berlaku apabila sesuatu sistem dipertingkatkan secara besar-besaran,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan peningkatan keupayaan sistem ini membolehkan perkhidmatan sedia ada dirombak bagi membolehkan lebih banyak perkhidmatan perhubungan pelanggan dalam talian ditawarkan menerusi portal layan diri baharu, myTNB.

“Portal ini akan merubah wajah perkhidmatan utiliti negara dengan menawarkan akses lebih baik untuk pelanggan menguruskan akaun dan memantau penggunaan elektrik mereka selain memberikan capaian lebih mudah untuk sebarang maklumat berkaitan tenaga elektrik,” menurut kenyataan itu.

Foto oleh FMT
Foto oleh FMT

Sementara itu, anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dalam sidang media di Petaling Jaya berkata bekalan elektrik pengguna yang terjejas dengan proses menaik taraf sistem berkenaan, tidak seharusnya dipotong sehingga isu itu selesai.

Beliau berkata, ia antara tiga cadangan yang dikemukakan sewaktu pertemuan dengan Pengurus Besar TNB Selangor, Datuk Mohd Zahir Md Nagor (Nagor) hari ini.

“Saya mengemukakan aduan kepadanya kerana isu ini meresahkan rakyat antaranya mereka tidak menerima bil secara konsisten dan tiba-tiba bil mereka dicaj tinggi dan ini memerlukan penjelasan TNB,” katanya selepas pertemuan itu.

Selain itu, Budiman turut mencadangkan pengguna yang terjejas akibat proses tersebut diberi kelonggaran untuk membayar secara ansuran selain diberikan rebat.

Dilapor, berikutan proses menaik taraf sistem pengebilan terbaharu itu, pengguna mendakwa tidak menerima bil elektrik secara konsisten atau dikenakan caj tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here