TMJ

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam meminta Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menyerahkan maklumat berhubung dakwaan adanya rasuah dalam pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Mengulas isu tersebut, SPRM dalam satu kenyataan berkata sekiranya terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009, pihaknya bersedia mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

TMJ
TMJ

“SPRM alu-alukan Tunku Ismail menyerahkan butiran berkaitan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil,” kata kenyataan itu.

Melalui laman Facebook Johor Southern Tigers kelmarin, Tunku Ismail mendedahkan beliau memiliki satu pemacu pena yang menyimpan laporan aktiviti dalaman FAM yang didakwanya telah pun berlarutan selama 30 tahun.

Skandal yang dikatakan wujud termasuklah ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Tunku Ismail berkata pemacu pena itu diperoleh menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.

“Ini adalah ‘pendrive‘ diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP ( Usahawan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia ) dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek.”

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan TMJ memiliki maklumat berkaitan aktiviti rasuah melibatkan badan induk bola sepak negara itu.

Katanya, sesiapa sahaja boleh melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai maklumat mengenai rasuah.

“Sesiapa sahaja ada hak (laporkan) kepada SPRM, awak tak perlu tanya saya, ” katanya ringkas ketika ditanya sama ada pihaknya melihat ada keperluan untuk TMJ melaporkan perkara itu kepada SPRM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here