Tiger Woods

SUPERSTAR golf Tiger Woods ditahan oleh polis kerana didapati memandu dalam keadaan ‘terhoyong hayang’ di Miami, Amerika Syarikat, semalam.

Penahanan itu sekaligus memberi tamparan terbaru kepada bekas pemain nombor satu dunia itu yang masih bergelut untuk menghidupkan semula kariernya dalam sukan golf.

Bekas pemenang kejohanan utama sebanyak 14 kali itu menyalahkan penahanannya itu yang dikatakan berpunca daripada campuran ubat diambilnya.

Dia memohon maaf kepada peminatnya dan mengatakan alkohol tidak terbabit dalam insiden itu.

Woods, 41, ditahan polis berhampiran rumahnya di Jupiter, Florida sekitar jam 3 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia). Dia kemudian dibebaskan selepas didakwa memandu dalam keadaan dipengaruhi.

Foto ‘mug’ pejabat polis Palm Beach County Sheriff menunjukkan mata Woods merah berair dan kelihatan tidak terurus.

Imej itu berbeza berbanding dirinya sebenar yang dikenali seorang ahli sukan berimej bersih seperti tokoh korporat.

“Saya faham kesan akibat saya lakukan dan mengambil tanggungjawab terhadap tindakan saya,” kata Woods dalam satu kenyataan dipetik oleh media AS yang menegaskan ‘tiada pembabitan alkohol’.

“Apa berlaku adalah reaksi tidak dijangkakan akibat pengambilan ubat. Saya tidak menyedari campuran ubat memberikan kesan mendalam seperti itu kepada saya” kata Woods.

“Saya meminta maaf dengan sepenuh hati kepada keluarga saya, rakan rakan dan peminat. Saya meletakkan harapan tinggi terhadap diri saya juga”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here