Uber
Foto oleh TheMalaymail

Pemandu Uber di Sarawak akan menghadapi tindakan denda atau kemungkinan kenderaan mereka dirampas setelah tiga agensi penguatkuasaan melancarkan tindakan untuk melumpuhkan perkhidmatan tersebut.

Timbalan ketua penguatkuasa dan siasatan trafik Polis Sarawak, DSP Alexson Naga Chabu menasihatkan pengguna supaya tidak menggunakan khidmat Uber, yang katanya adalah menyalahi undang-undang di negeri ini.

“Pemandu Uber boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 atau tidak melebihi RM10,000 di bawah Seksyen 33 Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987. Akta ini juga membolehkan kita untuk menyita kenderaan persendirian yang digunakan secara haram untuk tujuan komersial,” kata beliau kepada akhbar The Borneo Post.

Menurut The Borneo Post, polis negeri, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan telah bermesyuarat dan memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap pemandu Uber.

Ia juga melaporkan bahawa empat persatuan teksi yang berpangkalan di Kuching – Persatuan Pemilik Teksi Sarawak, Persatuan Teksi Bahagian Kuching, Persatuan Teksi Bumiputera Bahagian Kuching dan Persatuan Teksi Bumi Kenyalang telah membuat laporan polis pada 23 September terhadap Uber.

Pengerusi Persatuan Pemilik Teksi Sarawak, Tay Teck Ming dilaporkan berkata pemandu teksi telah hasil perniagaan mereka telah berkurang sebanyak 30 hingga 40 peratus sejak Uber mula beroperasi di Kuching kira-kira dua minggu lalu. Beliau juga menegaskan bahawa Uber tidak harus dibenarkan untuk beroperasi di Sarawak kerana ia adalah menyalahi undang-undang di sana dan masih belum mendapatkan apa-apa lesen daripada LPKP.

Uber melancarkan perkhidmatannya di ibu kota Sarawak Kuching pada 14 September, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata bahawa syarikat itu masih belum memohon permit daripada LPKP Sarawak.

Nancy kemudian berkata pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis diberi kuasa oleh undang-undang untuk merampas kenderaan tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan teksi. Beliau juga menambah bahawa tindakan boleh juga diambil terhadap pemandu di bawah Seksyen 56 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mempunyai lesen yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan teksi.

Pada hari Selasa lalu, akhbar tempatan The Star melaporkan bahawa polis Kota Kinabalu telah menahan dua pemandu Uber yang disifatkan menjalankan perkhidmatan tanpa izin di Sabah. Kedua-dua mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan atas kesalahan menggunakan kenderaan persendirian untuk tujuan komersial.

The Star memetik Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata bahawa pemandu Uber memerlukan lesen daripada LPKP untuk beroperasi di Sabah dan jika tidak mereka akan dianggap berada dalam kategori yang sama dengan “lanun teksi” di negeri ini.

LEAVE A REPLY