teresa

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menang dalam rayuannya menentang kerajaan berhubung penahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sembilan tahun lalu, sekaligus menerima ganti rugi RM350,000.

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya berkata berlaku kesilapan undang-undang dalam keputusan Mahkamah Tinggi apabila ia menggunakan kes ujian, ketika merujuk kepada situasi Teresa, tahun lalu.

“Ia jelas kesilapan undang-undang apabila Mahkamah Tinggi mengguna pakai prinsip ‘stare decisis’ untuk mengikut satu kes yang kini bukan lagi undang-undang yang bagus,” kata Hakim Datuk Varghese George yang membacakan penghakiman itu.

Panel hakim lain ialah Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Zaleha Yusof.

teresa kok
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok

Mahkamah juga mendapati tuduhan itu, yang menamakan pembabitannya dalam bantahan suara azan, petisyen menurunkan papan tanda Jawi, SMS langsung pembabitannya, dan juga petisyen supaya azan tidak dipasang adalah lapuk.

“Beliau ditahan pada 19 September 2008. Tetapi tuduhan yang dituju kepadanya ialah pada Februari tahun itu.

“Tidak ada tindakan serta-merta. Polis tidak bertindak atas perbuatannya yang didakwa membangkitkan ancaman awam. Mereka hanya menahannya tujuh bulan selepas itu,” katanya.

Varghese berkata:”Polis gagal menunjukkan mereka menyokong dakwaan itu ketika menahannya.”

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan kerajaan membayar RM350,000 ganti rugi umum, teladan dan teruk kepada naib presiden DAP itu.

“Kos RM70,000 juga perlu dibayar kepadanya (Teresa),” kata hakim.

 

Teresa memfailkan saman terhadap menteri dalam negeri, beberapa pegawai polis dan kerajaan Malaysia. Beliau mendakwa ditangkap dan ditahan mengikut ISA secara salah dan tiada asas sehingga terpaksa melalui tekanan mental, sakit dan mengalami keracunan makanan serta dinafikan hak perlembagaan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here