tasha shilla
Cover image via mynewshub.cc

Pertemuan empat mata dengan Tasha Shilla dalam satu sesi fotografi baru-baru ini membungakan rasa betapa bijak dan mesranya wanita berusia 29 tahun itu berkomunikasi dengan wartawan, baik senior mahupun junior.

Biarpun acap kali bersimbah kontroversi, Tasha sememangnya sinonim dengan keterbukaan berhujah tentang sebarang perilakunya.

Hampir setahun memperlahankan langkah dalam cabang seni, terutama selepas dibadai kontroversi yang tidak putus-putus, Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abdul Razak tidak menafikan kegagalan hubungan cintanya dengan peninju Tomoi, Hans Wong banyak memberi pengajaran terhadapnya.

“Selepas putus cinta, saya banyak belajar untuk lebih menyayangi diri sendiri terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain. Prinsip itu yang saya amalkan sekarang dan ia membuatkan saya gembira.

“Kalau khalayak mahu labelkan saya sebagai artis kontroversi atau bermasalah, itu terpulang kepada orang. Saya tidak mempunyai kuasa untuk tutup mulut mereka. Bagaimanapun, dalam usia yang semakin meningkat, saya sudah malas untuk hidup atas nama kontroversi. Saya sudah penat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sepanjang lapan tahun bergelar pelakon, dia tidak pernah dengan sengaja mencetuskan kontroversi untuk meraih populariti segera, sebaliknya ia berlaku tanpa diduga.

“Saya hanya menjadi diri sendiri. Kalau dengan menjadi diri sendiri membuatkan orang bercakap buruk tentang saya, itu bukan masalah saya. Bagi saya, lebih baik menjadi diri sendiri, biarlah apa orang ingin kata, asalkan tidak berpura-pura,” laju pelakon seksi melantunkan bicara.

Menyesal

Dijentik persoalan pemilik singgahsana di hatinya, selepas asmara bersama Hans yang berakhir dengan ‘kekecohan’ di sebuah kelab malam di ibu kota, ternyata pelakon filem KL Menjerit itu sudah serik untuk bercinta lagi.

“Buat masa sekarang, saya tidak ada masa untuk bercinta. Saya trauma dan serik untuk memberi cinta kepada lelaki. Biarlah saya fokus dengan kerjaya seni yang telah terbengkalai disebabkan terlalu mengejar cinta sebelum ini.

“Saya tidak nafikan, sebelum ini saya terlalu terhegeh-hegeh memikirkan soal cinta sehingga tidak punya masa untuk diri sendiri. Jujurnya, saya menyesal atas apa yang telah berlaku sebelum ini.

“Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjuang dalam bidang lakonan. Saya sudah malas memikirkan cinta. Apa yang penting buat waktu ini adalah kerjaya seni. Cinta, saya tolak ke tepi dulu,” ulasnya panjang lebar.

Mengakui selesa berstatus single, Tasha gembira kerana bebas tanpa komitmen dengan mana-mana lelaki.

“Saya gembira kerana bebas untuk membuat pilihan. Sebelum ini, saya terlalu hanyut dengan janji lelaki sehinggakan memberi kesan kepada diri sendiri.

“Sekarang saya semakin bahagia dan berat badan juga semakin naik (ketawa). Kalau ada (cinta), adalah. Kalau tiada, tidak mengapa,” katanya selamba.

Serius

Ditanya tentang ‘sifat nakalnya’ selama ini banyak mengehadkan peluang kerjaya lakonannya terus bersinar, Tasha sedikit sebanyak bersetuju dengan perkara tersebut, namun tidak mahu terlalu memikirkan pandangan khalayak mengenai dirinya.

“Saya sudah malas ambil serius kalau orang asyik sibuk menghakimi saya disebabkan imej seksi.

“Kalau teguran itu berdasarkan niat yang baik, saya akan terima. Tetapi kalau teguran mempunyai niat untuk menjatuhkan saya, lebih baik saya mengambil pendekatan masuk telinga kanan keluar telinga kiri,” ulasnya.

Bercakap tentang keputusannya memperlahankan kerjaya lakonan, Tasha bagaimanapun tetap menerima tawaran tertentu, bukan hanya lakonan tetapi nyanyian.

“Saya memang tidak suka terikat dengan banyak komitmen lakonan. Sejak 10 tahun bergelar pelakon, saya lebih rela menyelesaikan satu demi satu tawaran. Itu cara saya.

“Selepas menyertai program Gempak Superstar tempoh hari, saya ada menerima tawaran menyanyi malah untuk hadir dengan single sulung. Bagaimanapun, saya terpaksa letak tepi dulu tawaran nyanyian kerana saya belum bersedia untuk bergelar penyanyi,” katanya lagi.

Ditanya mengenai trend semasa yang memperlihatkan ramai golongan selebriti melibatkan diri dalam bidang perniagaan, Tasha punya pandangan tersendiri.

“Saya tidak mahu mempunyai jenama sendiri hanya setakat wajah atau nama terpampang sebagai pelaris, walhal sesuatu produk berkenaan bukan 100 peratus milik saya.

“Kalau ingin hadir dengan produk sendiri, saya mahu ia dikendalikan sepenuhnya oleh saya bukan hanya jurucakap berdasarkan populariti sebagai selebriti. Itu tidak menarik buat saya,” getusnya yang kini sibuk menjalani demi pementasan sebuah teater di Shah Alam, Selangor

Putera La Galigo

Mengulas tentang penglibatannya dalam teater epik bertajuk Putera La Galigo tersebut, Tasha teruja diberi peluang beraksi di pentas teater setelah kali akhir diberi tanggungjawab serupa menerusi teater Takhta Tiga Ratu di Istana Budaya pada 2014.

“Saya suka berlakon teater kerana yakin akan mendapat kepuasan sebagai seorang pelakon melalui peluang beraksi atas pentas yang ditonton secara langsung oleh peminat.

“Di pentas teater saya dapat menyerlahkan bukan sahaja bakat lakonan, malah nyanyian atau monolog. Dalam teater ini, saya juga bersilat dan menyanyi. Ia sebuah pengalaman yang bagus untuk saya terus serius dalam bidang ini,” tuturnya.

Menerusi teater arahan Rosdeen Suboh itu, Tasha melakonkan watak Puteri Perak di samping pelakon-pelakon hebat lain seperti Amar Asyraf, Raja Azura, Ainul Aishah dan Wan Raja.

Berlangsung selama tiga hari bermula 16 Disember nanti, tiket teater berkenaan boleh dibeli pada harga RM35 melalui laman web, www.airasiaredtix.com atau hubungi hotline 03-41019338.

Baca lagi: Tasha Shilla Sudah Lali dengan Kritikan

LEAVE A REPLY