puteri umno

KUALA LUMPUR: Puteri Umno Kota Bharu baru-baru ini tampil memohon maaf secara terbuka selepas rakaman tarian gelek pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Khamis lalu menjadi viral di laman sosial.

Puteri Umno Kota Bharu berkata mereka akur dan merasa amat kesal atas kesilapan tersebut.

“Kami juga sedar masih baru dalam politik dan banyak lagi yang perlu dipelajari. Insiden ini memberikan pengajaran yang amat berharga kepada kami, walaupun pahit.

“Kami akan mengambil iktibar atas keterlanjuran ini,” kata kenyataan yang disiarkan di laman FB Puteri Umno Kota Bharu dua hari lalu.

puteri
Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis perasmian persidangan Puteri Umno Kota Bharu

Puteri Umno Kota Bharu berharap isu itu tidak akan terus berlarutan dan semua pihak dapat memberi peluang kepada mereka.

Rakaman yang tersebar itu menunjukkan empat penari wanita berpakaian menutup aurat dan bertudung tetapi mempersembahkan tarian gelek sebagai pembuka acara tersebut.

Menurut laporan, antara tetamu yang hadir adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Ab Rahman serta semua pimpinan Umno Bahagian.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merasmikan persidangan perwakilan pergerakan itu di Kota Bharu.

Tarian gelek itu kemudian menjadi viral secara meluas di media sosial dan aplikasi whatsapp sehingga menimbulkan reaksi serta persepsi negatif dalam kalangan netizen.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata mesyuarat perwakilan seharusnya diisi dengan nilai yang baik, bukannya dengan perkara yang boleh memudaratkan perjuangan.

“Tidak salah kalau memperkenalkan budaya warisan seperti zapin dan silat tetapi bukan dengan tarian gelek atau perkara yang boleh memudaratkan perjuangan kita,” katanya menerusi FB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here