Peluang lebih luas kepada akses pendidikan membolehkan 33 peratus anak-anak daripada golongan bumiputera mempunyai kelulusan di peringkat tertiari diikuti oleh kaum Cina 44 peratus dan kaum India pula, hanya lima peratus walaupun dibesarkan oleh ibu bapa yang tidak mempunyai pendidikan formal.

Rumusan tersebut terkandung dalam kaji selidik terbaharu Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bertajuk ‘Laporan Mendaki Tangga: Mobiliti Sosioekonomi di Malaysia’ yang diumumkan hari ini.

Malah, laporan itu juga menunjukkan satu daripada dua anak berpendapatan lebih tinggi daripada ibu bapa mereka dengan 82 peratus mempunyai pendapatan lebih tinggi daripada ibu bapa mereka yang berpendapatan dalam tangga terendah.

Pengerusi KRI, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, ini membuktikan anak-anak yang lahir daripada keluarga miskin mampu menjadi ketua pegawai eksekutif syarikat dan mempunyai kerjaya profesional lain seperti jurutera, peguam dan doktor sekali gus menjadi faktor utama kepada komuniti mobiliti.

Katanya, lebih 50 peratus rakyat Malaysia berada dalam kemiskinan pada 1957 dan tidak ramai yang berjaya dalam kerjaya profesional manakala jumlah itu berkurangan kepada 49.3 peratus pada 1970.

“Dalam tempoh selepas negara mencapai kemerdekaan, kita dapat melihat ramai anak-anak mula bergerak ke hadapan dan memperoleh pendidikan di peringkat tertinggi.

“Kita berharap dalam melangkah ke masa depan, momentum mobiliti ini dapat dikekalkan untuk memastikan pendapatan rak­yat adalah mencukupi bagi mereka untuk menikmati kehidupan lebih baik,” katanya dalam pembentangan laporan itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Mokhzani dan Pengarah Penyelidikan Program Bandar KRI, Dr. Muhammed Abdul Khalid.

Laporan kaji selidik itu membandingkan taraf pendidikan, kemahiran pekerjaan dan status pendapatan 4,999 pasangan ibu bapa dan anak-anak pada usia bekerja yang sama dari seluruh negara.

Sampel kajian itu terdiri daripada ibu bapa yang lahir antara 1945 hingga 1960 dan anak sulung yang lahir antara tahun 1975 hingga 1990.

Secara keseluruhan, kajian itu mendapati 74 peratus ibu bapa di Malaysia percaya taraf sosioekonomi anak mereka lebih baik berbanding diri mereka sendiri dengan 62 peratus anak-anak mempunyai tahap pendidikan lebih tinggi berbanding ibu bapa mereka.

Jelas laporan itu, walaupun 50 peratus anak memperoleh pendapatan mutlak yang lebih tinggi daripada ibu bapa mereka, hanya 35 peratus sahaja berjaya naik sekurang-kurangnya satu tangga pendapatan manakala 50 peratus anak yang mendapat pendapatan mutlak lebih rendah daripada ibu bapa mereka, hanya 38 peratus turun sekurang-kurangnya satu tangga pendapatan.

Dr. Muhammed dalam pembentangan laporan itu berkata, taraf pendapatan ibu bapa bukanlah faktor paling penting dalam mobiliti pendapatan anak dengan hanya 19 peratus sahaja daripada pendapatan anak yang dipengaruhi oleh pendapatan ibu bapa.

Bagi anak-anak daripada kumpulan B40, katanya, pendidikan tertiari adalah faktor utama untuk bergerak ke atas termasuk juga ibu yang mempunyai simpanan dan faktor anak-anak dibesarkan sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

“Dalam erti kata lain, mereka yang dibesarkan oleh ibu bapa berpendapatan rendah tidak semestinya kekal miskin apabila dewasa manakala mereka yang dibesarkan oleh ibu bapa berpendapatan tinggi juga tidak semestinya kekal kaya,” katanya.

Namun, beliau menegaskan, kajian tersebut mendapati beberapa bentuk ‘kesempitan kelas pertengahan’ telah berlaku justeru, lebih banyak penekanan perlu diberi kepada kumpulan pendapatan pertengahan tanpa mengabaikan mereka yang berpendapatan rendah dan masalah kemiskinan terpencil yang masih wujud.

“Antaranya, isu pendidikan tinggi terutama mereka dari keluarga berpendapatan rendah, akses kepada kewangan dan juga pelepasan cukai. Atas sebab itu, kajian yang dibuat ini lebih menumpukan prospek lebih luas di bawah Rancangan Malaysia ke-11 bagi meningkatkan tahap mobiliti bermula dengan pendidikan awal kanak-kanak hingga pemilikan aset dan bukannya di bawah pelan jangka pendek,” katanya.

LEAVE A REPLY