tanggungjawab

SEJAK kebelakangan ini, isu pemberhentian pekerja mendapat liputan luas di media massa. Isu ini secara langsung pastinya memberi kesan negatif kepada negara lebih-lebih lagi kepada individu yang terbabit lantaran terpaksa mencari alternatif lain yang penuh dengan pelbagai cabaran untuk meneruskan hidup. Trend pemberhentian pekerja yang melanda meliputi pelbagai sektor di dalam mahupun luar negara disifatkan sebagai fenomena biasa mengambil kira iklim ekonomi yang suram. Industri minyak dan gas umpamanya menerima impak tinggi dari segi pemberhentian pekerja lebih-lebih lagi susulan kejatuhan mendadak harga minyak dunia.

Mengikut statistik yang dikeluarkan, kira-kira 38,499 pekerja diberhentikan sepanjang tahun 2015 berbanding dengan sejumlah 25,917 pekerja yang diberhentikan pada tahun 2014 iaitu peningkatan sebanyak 12,582 pekerja. Menurut Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), setiap tahun kira-kira 15,000 hingga 16,000 pekerja diberhentikan kerja. Menteri Sumber Manusia Dato’ Sri Richard Riot dalam satu kenyataannya menyebut pemberhentian pekerja di Malaysia mungkin berterusan sehingga tahun 2017 rentetan dari ketidaktentuan ekonomi global. Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, Malaysia tidak dapat mengelak daripada ketidaktentuan ekonomi global seperti ketidakstabilan dalam pasaran kewangan dunia, kejatuhan harga komoditi dan penyederhanaan ekonomi China yang memberi kesan terhadap ekonomi negara.

Masyarakat umumnya melihat isu pemberhentian pekerja berkait rapat faktor ekonomi semasa semata-mata. Jika diperhalusi, faktor seperti penggunaan teknologi moden yang serba canggih juga turut menyumbang pemberhentian kerja kerana jumlah pekerja yang diperlukan telah berkurangan. Ini adalah kerana mesin mampu mengambil alih tugas manusia dan menjalankan kerja dengan lebih efisien. Evolusi teknologi yang berlaku dari semasa ke semasa turut memberi kesan kepada pekerja terutama dalam sektor perkilangan dan pembuatan. Apabila sesebuah produk berkenaan tidak lagi boleh dijual di pasaran, maka pekerja yang memiliki kemahiran untuk menghasilkan produk itu tidak diperlukan.

tanggungjawabKesan dari masalah yang berlaku ini telah mengakibatkan masalah pengangguran yang teruk terhadap pekerja tempatan di negara kita. Situasi ini secara langsung dan tidak langsung memberikan kesan kepada isi rumah. Pelbagai masalah yang akan timbul dalam institusi kekeluargaan jika anggota dalam sesebuah keluarga tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap untuk menyara keluarga mereka. Isu pembuangan pekerja juga boleh menjadi masalah besar bagi mereka yang berusia kerana golongan yang berusia selalunya berdepan dengan kesukaran untuk mencari pekerjaan baharu berdasarkan keadaan ekonomi semasa serta persaingan yang dihadapi daripada pekerja muda tempatan serta pekerja luar.

Pihak majikan haruslah terlebih dahulu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengelakkan pemberhentian pekerja sebagaimana yang dicadangkan di dalam Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan, iaitu dengan melakukan proses pembekuan pengambilan pekerja baharu kecuali bagi bidang-bidang kritikal, mengehadkan kerja lebih masa, mengehadkan kerja pada hari rehat mingguan dan cuti am. Transformasi terhadap pengurusan kerja seperti memberikan cuti tanpa gaji yang lama kepada pekerja, skim perberhentian kerja secara sukarela (VSS), pemotongan gaji dan sebagainya juga boleh dilaksanakan.

kerjaDi pihak kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia (KSM) sentiasa mengambil langkah proaktif untuk menempatkan semula pekerja yang diberhentikan dan menyediakan latihan yang sesuai. KSM melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) menyediakan pelbagai skim latihan kepada pekerja yang bakal diberhentikan kerja daripada sektor swasta. Pelaksanaan skim-skim tersebut membolehkan golongan pekerja tersebut memohon untuk mengikuti latihan semula dengan percuma bagi mendapat kemahiran dan pekerjaan baharu. Peruntukan sebanyak RM77 juta telah diluluskan kepada Pusat Penempatan 1Malaysia atau 1Malaysia Outplacement Centre (OPC) untuk memberi latihan kemahiran diperlukan golongan yang diberhentikan kerja bagi membolehkan mereka kembali mendapat pekerjaan. OPC di bawah kendalian HRDF ini akan dilancarkan pada Ogos 2016.

Berdasarkan situasi yang sedang berlaku pada hari ini, masalah pemberhentian pekerja tidak mampu diselesaikan dalam sekelip mata. Justeru, sudah sampai masanya isu pemberhentian pekerja ini mendapat perhatian sewajarnya dari semua pihak bagi memastikan hak dan kebajikan golongan pekerja dalam negara ini lebih terjamin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here