Sembilan syarikat Malaysia meraih potensi jualan sebanyak RM96.58 juta pada pameran perdagangan antarabangsa, ‘World of Private Label International Trade Show (PLMA) 2017’ yang berlangsung di Amsterdam, Netherlands pada 16 dan 17 Mei.

Angka berkenaan meningkat 43 peratus berbanding RM67.63 juta yang dijana oleh 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada tahun lepas.

Penyertaan Malaysia pada pameran itu diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Malaysia (Matrade).

Di bawah kategori bukan makanan, syarikat Malaysia mempamerkan antaranya produk pembersihan rumah, produk penjagaan diri dan isirumah.

Syarikat Malaysia juga mengambil peluang bertemu bakal pembeli dari Netherlands, Belgium dan Turki, kata Pengarah Unit Gaya Hidup Matrade Abu Bakar Yusof.

Menurut Matrade, bahagian pasaran bagi jenama peruncit meningkat di 13 daripada 20 negara di Eropah dan peningkatan permintaan yang berterusan di negara-negara berkenaan menunjukkan terdapat potensi besar bagi syarikat Malaysia menerokanya.

PLMA merupakan pameran perdagangan runcit terkenal di Eropah di mana pembeli dan penjual berkumpul untuk mendapatkan sumber bagi pasar raya dan gedung dari seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here