super spontan superstar 2016
Cover image via Harian Metro

Masih mengekalkan format asal empat musim terdahulu, Super Spontan Superstar kali ini tampil dengan sedikit kelainan apabila menyenaraikan dua personaliti media sosial untuk berentap bersama 14 selebriti yang terbabit.

Zulkifli Mohamad atau Zukiee, 24, dan Jamaluddin Ahmad Zawawi atau Jamal, 23, akan bersaing dengan Johan, Tauke, Ozlynn, Kamal Adli, Julia Ziegler, Altimet, Waris, Amyza Adnan, Abam Bocey, Fad Bocey, Achey, Syuk Joras, Ali Puteh serta Zulin Aziz.

Ketua Pengisian dan Saluran Komedi Astro, Bob Azrai berkata, Zukiee dan Jamal mempunyai pengikut sendiri dan ini antara faktor mereka terpilih menyertai musim baru Super Spontan.

“Ia terbukti dengan video lucu mereka. Kami panggil mereka menyertai sesi boot camp yang berlangsung tiga hari dan dapati mereka spontan ketika diberi cabaran.

“Kita ada ramai personaliti media sosial yang berkebolehan berlawak, tetapi ini hanya permulaan. Zukiee dan Jamal dapat menyesuaikan diri dengan konsep spontan. Ia jadi kriteria utama pemilihan,” katanya.

Pencetus idea program ini, Afdlin Shauki berkata, mereka cuba menggunakan media sosial untuk mengembangkan program TV.

“Saya lihat konsep spontan di laman sosial seperti Facebook dan Twitter sangat hebat. Ini peluang untuk kembangkan bakat mereka di kaca TV pula.

“Untuk kali ini, kami lihat sesiapa yang berani ambil cabaran berlawak secara spontan. Tak ramai pelakon kita yang boleh buat jika tiada skrip.

“Kami ajak ramai pelakon, tetapi mereka belum bersedia. Bagaimanapun, Zukiee dan Jamal membuktikan mereka layak dan mampu berimprovisasi secara spontan,” katanya.

Lebih menarik, Super Spontan Superstar kali ini menampilkan pasangan suami isteri, Johan dan Ozlynn yang mewakili kumpulan berbeza.

Johan mengetuai kumpulan Monyet Mafia manakala Ozlynn berada dalam kumpulan Harimau Hipster yang diketuai Tauke.

Ozlynn berkata, dia menerima tawaran ini apabila dihubungi pihak Astro dan bukan kerana ajakan suaminya.

“Sebelum ini saya selalu ikut Johan dalam Super Spontan dan tahu bagaimana permainannya. Saya beritahu Johan berkenaan pelawaan Astro dan dia suruh saya cuba nasib.

“Mulanya saya ingat ia perkara senang, tapi apabila menyertai boot camp baru saya tahu susahnya nak berlawak spontan. Di sini juga baru saya tahu suami saya seorang yang hebat,” katanya yang akan bersaing secara sihat dengan suaminya.

Johan pula menafikan mereka menerima bayaran lumayan sebagai syarat untuk menyertai program itu.

“Saya dah lama kenal abang Afdlin dan pasukannya, malah bertolak ansur dalam soal harga. Berkenaan Ozlynn pula, selalunya dia jadi pemerhati dan komen permainan saya.

“Tapi, kali ini dia akan rasa sendiri cabaran berlawak spontan,” katanya.

Sementara itu, Amyza pula mengakui menyertai program itu untuk mengembalikan popularitinya di mata peminat.

Super Spontan Superstar bakal bersiaran secara langsung di Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM setiap Jumaat bermula 5 Ogos menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Seperti musim terdahulu, konsep berhibur sambil beramal masih dikekalkan apabila juara mingguan berpeluang menyumbangkan RM5,000 kepada selebriti veteran terpilih yang memerlukan bantuan.

Afdlin masih bertindak sebagai komentator manakala Datuk AC Mizal dan Amir Raja Lawak kekal sebagai pengacara.

Pemenang Super Spontan Superstar akan membawa pulang wang tunai RM100,000 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing bakal menerima RM50,000 dan RM25,000.

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here