Sultan Muhammad V
Image via The Star

KUALA KRAI, 1 Nov – Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menghadiri Majlis Perasmian Program Penghijauan D’Raja sempena ulang tahun Keputeraan Baginda ke-47 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai di sini, hari ini.

Baginda yang tiba di sekolah itu pada 12.15 tengah hari turut diiringi Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Addullah.

Turut mengiringi Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim.

Pada majlis berkenaan baginda berkenan menanam sebatang pokok jenis ‘Bleu Quandong’ sebagai simbolik perasmian Program Penghijauan D’Raja tersebut.

Sementara itu, Mohd Faudzi dalam ucapannya berkata Program Penghijauan D’Raja adalah cetusan idea Sultan Muhammad V sendiri yang bertujuan menghalang tebing sungai di negeri ini daripada hakisan terutama akibat bencana banjir.

Beliau berkata sebanyak 600 anak pokok pelbagai spesies setinggi lima kaki ditanam di sepanjang Sungai Lebir berdekatan sekolah berkenaan.

“Program ini merupakan tanggungjawab kami bagi menghalang hakisan dengan Manek Urai dipilih sebagai tempat pertama ia dilaksanakan,” katanya.

LEAVE A REPLY