sultan
Foto oleh FMT

PETALING JAYA: Selepas suratnya mempersoalkan larangan Sultan Johor mengadakan demonstrasi di negeri itu, pemimpin muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abul Rahman semalam menerima nasihat daripada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas pertemuan di istana unik yang diinspirasikan daripada siri kartun Flinstone.

Saddiq yang mengetuai sayap pemuda PPBM itu turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan Sultan Johor selesa berpakaian baju T sambil duduk di istana bertemakan zaman purba ala-Flinstone di Mersing, Johor.

“Sebelum patik tiba di Istana Flinstone secara jujurnya, patik cukup takut dan risau. Bukan kerana takut akan dikenakan tindakan berkenaan surat tempoh hari. Tapi risau sekiranya memang benar surat itu menyinggung perasaan DYMM Tuanku,” tulis Saddiq menceritakan pertemuannya.

“Namun, selepas berpeluang menghadap DYMM Tuanku, patik dapati bahawa Tuanku merupakan seorang Sultan yang berjiwa rakyat. Sangat memahami diri kecil patik, rakyat biasa.”

Fot oleh FMT
Fot oleh FMT

Menurut Saddiq, pertemuan itu diatur oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Baginda Tunku mempunyai impian dan perancangan tentang segala apa yang dititahnya. Bola sepak, kesepakatan Bangsa Johor dan masa depan anak muda Johor,” tulis Saddiq dalam catatan menghargai keluarga diraja itu.

“Patik sejujurnya amat terharu dan berasa rendah diri apabila DYMM Tuanku bersama seisi keluarga diraja sudi bercemar duli berjumpa patik dan meluangkan masa hampir seharian bersama patik, rakyat biasa.

“Memang benar kata orang dulu-dulu, raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya.

Saddiq sebelum ini disoal siasat polis selepas surat terbuka dimuat naik di laman Facebooknya, mengkritik larangan mengadakan demonstrasi di Johor yang dititahkan Sultan Johor.

Ia susulan laporan yang memetik kenyataan Sultan Johor sebagai tidak membenarkan sebarang tunjuk perasaan jalanan diadakan di Johor.

“Ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab bagi mereka untuk berkumpul di tempat awam dan menghina pemimpin dan individu tertentu.

“Saya ingin menegaskan yang beta tidak akan membenarkan sebarang jenis demonstrasi diadakan di Johor,” menurut laporan The Star.

LEAVE A REPLY