SOROS
Foto oleh FMT

PETALING JAYA: Dakwaan jutawan George Soros terlibat dengan kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 adalah sebahagian daripada percubaan membatalkan perhimpunan Bersih 5 pada 19 November, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, beliau meletakkan lebih keutamaan kepada protes yang dirancang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukannya berkenaan sumber dana Bersih serta berasa sangsi mengenai sama ada Soros memberi sumbangan itu.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, juga membidas pemimpin Baju Merah Datuk Jamal Yunos yang berkata, Dr Mahathir perlu menunjukkan bukti dakwaan terhadap Najib.

“Saya menunjukkan begitu banyak bukti,” katanya. “Kini giliran saya untuk bertanya Jamal, di mana beliau mendapat wang? Adakah beliau membayar cukai atau tidak?”

Minggu lalu, dokumen yang bocor menunjukkan Open Society Foundations (OSF) milik Soros menyediakan dana kepada beberapa organisasi tempatan sebagai sebahagian daripada program untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

“Ini tidak boleh disahkan dan hanya tuduhan. Tambahan pula, saya rasa ini adalah modus operandi mereka untuk membatalkan perhimpunan tersebut,” kata Dr Mahathir sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Pemimpin Bersih, Maria Chin Abdullah berkata kumpulan itu menerima geran sekali sebanyak kira-kira RM70,000 daripada OSF antara 2010 dan 2011.

Awal minggu ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa siasatan dilancarkan berhubung dakwaan Soros membiayai Bersih, Merdeka Centre dan Malaysiakini.

LEAVE A REPLY