SOO WINCCI
Cover image via Berita Harian

Sebelum berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Perniagaan, Soo Wincci, 31, mengakui projek tesisnya pernah dibuang ke dalam tong sampah.

Malah, penyanyi lagu Terus-Teranglah bersama Joe Flizzow ini juga pernah dianggap ‘gila’ apabila memasang impian untuk mencapai cita-cita sebagai penghibur sekali gus berjaya di bidang akademik.

Justeru, sepanjang enam tahun berusaha mendapatkan ijazah berkenaan, Wincci yang pernah dinobatkan sebagai Ratu Cantik Malaysia 2008 mengerahkan segala keringat yang ada walaupun pada satu tahap pernah meluahkan rasa putus asa.

“Jadi, selepas mendapat tahu saya lulus, Mei lalu, dan dipanggil untuk menghadiri majlis konvokesyen hari ini, saya terus menangis kerana terlalu gembira.

“Dua tahun lalu, tesis saya pernah dibuang ke dalam tong sampah kerana gagal menepati tahap akademik.

Tahun lalu pula, selepas penilaian tesis dibuat, saya diminta balik. Ia bermakna saya gagal lagi.

Saat itu saya nekad untuk menukar perjalanan hidup dengan menumpukan kepada pelajaran saya sehingga selesai.

“Memang tidak dinafikan, sejak menceburi bidang hiburan, saya sangat sibuk sehingga membuatkan saya tertekan dengan kehidupan.

Ia bertambah rumit apabila saya membuat keputusan untuk menyambung pelajaran,” katanya yang ditemui pada majlis konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia (OUM), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pada majlis konvokesyen itu, Wincci menerima PhD yang disampaikan Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim.

Dengan pencapaian berkenaan, Wincci turut menerima pengiktirafan sebagai Ratu Cantik Malaysia pertama yang menerima PhD oleh Malaysia Book Of Records (MBOR).

“Pengiktirafan akademi yang saya terima ini diharap dapat menjadi inspirasi, khususnya buat golongan selebriti lain, yang mahu menyambung semula pengajian masing-masing.

“Impian saya selepas ini adalah untuk mengajak lebih ramai rakan selebriti tanah air menyambung pelajaran.

Bagi, saya selain menghiburkan masyarakat, kita juga harus juga mempunyai ilmu bagi menggalakkan dan memberi inspirasi kepada generasi baharu supaya menjadi insan berilmu,” katanya.

Wincci sebelum ini mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Reading, United Kingdom, dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Sunshine Coast, Queensland, Australia.

Baca lagi: Soo Wincci Realisasikan Hajat

 

LEAVE A REPLY