Skim

GEORGE TOWN: Berpuluh-puluh ribu pelabur dari seluruh dunia, termasuk Kanada, Amerika Syarikat dan China, mungkin bakal mengalami kerugian RM500 juta selepas salah sebuah pengendali ‘permainan wang’ terbesar di negara ini,  ‘JJ Poor to Rich’ (JJPTR) dilaporkan gulung tikar.

Walau bagaimanapun, pengasasnya yang berusia 28 tahun, Johnson Lee dalam posting di laman Facebook JJPTR Malaysia pada pukul 2 petang Isnin berkata beliau mempunyai rancangan untuk membuat bayaran balik kepada pelabur (baharu) pada pertengahan Mei.

Seorang pelabur yang enggan namanya disiarkan berkata beliau dapat merasakan sesuatu yang tidak kena apabila 20 peratus (RM800) dividen dari pelaburan RM4,000 yang dibuatnya tidak dimasukkan ke dalam akaun bank pada 20 April.

Sebelum ini, dividen dibayar agak tepat pada masanya, katanya. Beliau telah mendaftar sebagai pelabur pada bulan Disember dan setakat ini telah mendapat kembali wang berjumlah RM2,400.

“Ini bermakna saya masih kurang RM1,600.

“Ejen memberitahu saya bahawa syarikat itu akan membuat bayaran balik kepada pelabur yang masih belum dapat pulangan modal, tetapi saya masih bimbang.

“Saya bernasib baik kerana hanya melabur lebihan wang yang saya ada. Saya dengar ada yang melabur wang simpanan mereka,” katanya dalam satu temu bual.

Walaupun timbulnya laporan negatif itu, difahamkan JJPTR yang telah aktif selama lebih dari satu tahun, masih membuka Pusat Khidmat JJ di Taman Ipoh Timur, Perak, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Lee, yang sepatutnya menghadiri pembukaan itu tidak muncul.

Pembukaan pusat perkhidmatan ejen syarikat itu di Jalan Raja Uda, Butterworth, yang sepatutnya diadakan pada Ahad, telah ditangguhkan.

Pejabat-pejabatnya di Jalan Perak, Bayan Lepas dan Bandar Baru Air Itam di bahagian pulau dan Jalan Raja Uda di tanah besar ditutup pada Isnin. JJPTR juga mempunyai cawangan di Kulim dan Johor Bahru.

Di platform media sosial JJPTR, sesetengah pelabur berkata mereka bersedia untuk berhenti menerima dividen bulanan mereka sehingga syarikat itu kembali di landasannya.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa orang yang mempersoalkan dakwaan Lee bahawa akaun JJPTR telah digodam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang Asisten Komisioner Abdul Ghani Ahmad berkata tiada laporan polis telah dibuat terhadap JJPTR setakat ini.

“Agak biasa apabila pelabur menunggu enam bulan hingga setahun sebelum membuat laporan polis dengan harapan mereka akan mendapat kembali wang mereka.

“Warga Pulau Pinang sentiasa berminat menyertai skim pelaburan itu bagi mendapatkan wang dengan cepat. Masih terdapat dua atau tiga penipuan seperti itu yang aktif dalam negara,” katanya.

Sejak minggu yang lalu, terdapat cakap-cakap dalam talian mengenai kerja penggodaman yang mengakibatkan JJPTR kerugian RM500 juta.

Kes itu menjadi tajuk utama dalam akhbar-akhbar utama bahasa Cina pada Isnin apabila Lee mengesahkan khabar angin di Facebook, menyifatkan kerugian besar itu sebagai ‘kesilapan terbesar dalam hidup saya’.

Menurut akhbar Cina, singkatan JJPTR bukan sahaja bermaksud ‘Jie Jiu Pu Tong Ren’ (keselamatan untuk rakyat biasa) dalam bahasa Cina  tetapi juga dikaitkan dengan salah sebuah syarikat-syarikat bersekutunya, JJ Poor to Rich.

JJPTR, JJ Poor to Rich dan JJ Network Global adalah tiga entiti perdagangan forex yang disenaraikan di laman web www.jjptr.com.

Syarikat itu adalah antara 288 entiti dan individu yang berada di bawah pemerhatian Bank Negara Malaysia pada 24 Februari.

Mereka tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh bank pusat.

Ahli-ahli JJPTR diminta untuk melabur antara AS$25 dan AS$1,000 (RM110 dan RM4,400) dan menjanjikan pulangan bulanan sebanyak 20 peratus.

Percubaan untuk menghubungi Lee tidak berjaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here