SITI NURHALIZA
Cover image via Berita Harian

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, mengakui terkejut apabila dendangannya, Hari Kemenangan, dikatakan meniru melodi lagu Rabbani.

Menyerahkan perkara terbabit kepada Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah selaku komposer demi mengelakkan salah faham, beliau berkata, isu berkenaan dibangkitkan pendengar sebaik saja lagu yang dilancarkan sebelum Syawal itu, diperdengarkan kepada umum.

Rata-rata mengakui persamaannya dengan karya bertajuk Kemenangan yang dinyanyikan kumpulan nasyid itu, kira-kira dua tahun lalu.

Akui Siti, pihaknya menyangkal dakwaan terbabit dalam kes ciplak mahu pun plagiat memandangkan beliau mendapatkan melodi dendangan khas bersempena sambutan Aidilfitri itu secara sah menerusi Pak Ngah.

“Saya dimaklumkan mengenai hal ini dua atau tiga hari sebelum raya apabila ada peminat beri komen di YouTube mengatakan lagu baharu ini sama dengan Rabbani sebaik dimuat naik.

Antara komen ditinggalkan ialah: ‘Siti ambil lagu orang dan Pak Ngah tidak ada idea’. “Jadi, kami dapatkan Pak Ngah dan nyata wujud salah faham.

Beliau pun tidak tahu Rabbani pernah merakam lagu ciptaannya yang pernah dicadangkan kepada kumpulan itu.

Beberapa tahun dulu, katanya, dia pernah ajukan empat hingga ke lima lagu kepada Rabbani tetapi semuanya tidak dipilih.

“Rasanya, biarlah perkara ini diselesaikan antara kedua-dua pihak. Setakat yang saya tahu, Rabbani tidak komersialkan lagu Kemenangan di dalam album, sebaliknya hanya di YouTube dan program siaran Hari Raya, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis sambutan Hari Raya bersama 30 penghuni Rumah Titian Kasih yang diadakan dengan kerjasama Universal Music Malaysia dan Hotel The Westin Kuala Lumpur, kelmarin.

Ditanya hubungannya dengan Rabbani berhubung isu berkenaan, katanya, beliau cukup menghormati kumpulan itu selain enggan bermasam muka hanya disebabkan perkara yang sememangnya pernah berlaku dalam industri muzik.

“Rabbani juga sudah menghantar surat memohon maaf dan memberi penjelasan mengenai kekeliruan itu.

Lagi pun, buat apa nak bergaduh? Rabbani teman seperjuangan yang sangat saya hormati. Kami berkawan baik, malah kerap berkongsi pentas.

“Lagu ini pun yang saya tahu masih hak cipta Pak Ngah. Apabila insiden seumpama ini terjadi, secara tidak langsung membuktikan sentuhan Pak Ngah sentiasa menjadi rebutan. Saya sendiri menyukai melodi Hari Kemenangan.

“Dulu saya pernah hadapi situasi seperti ini. Lagu Wanita pernah dikatakan sama dengan dendangan penyanyi lain.

Waktu itu, apabila saya memperdengarkan naskhah berkenaan, tidak lama kemudian artis dari Indonesia pula memasarkan lagu yang melodinya kedengaran sama dengan Wanita,” ulas penghibur itu lagi.

Sementara itu, bercerita mengenai projek baharu, penyanyi berusia 37 tahun itu dalam perancangan menghasilkan album ke-17 yang bakal diterbitkan Aubrey Suwito.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here