siti nordiana
Cover image via Roti Kaya

BUKAN mudah untuk kembali bangkit mengecap kegemilangan. Sementelahan pula, sorotan dunia glamor seakan-akan mahu menggali kesemua sisi-sisi negatif biarpun kisah itu belum terbukti kesahihannya. Suka atau tidak, itu yang terpaksa dihadam figura umum seperti penyanyi berbakat, Siti Nordiana terutamanya apabila dituduh seringkali mungkir janji dan membatalkan persembahan pada saat-saat akhir seperti mana gosip yang bertebaran meluas di dada akhbar dan media sosial baru-baru ini.

Lebih menyedihkan, pemilik nama sebenar Siti Nordiana Alias, 32, yang mesra dengan panggilan Nana itu juga dikatakan mula hidup mewah terutamanya apabila didakwa mampu membeli sebuah kediaman secara tunai sebaik menjuarai program Gegar Vaganza musim kedua.

Menyangkal dakwaan kononnya dia kini mula berlagak diva, Nana sebaliknya menegaskan dirinya masih sama seperti mana sebelum ini.

“Saya masih sama seperti dahulu. Mana mungkin saya tergamak menabur pasir dalam periuk nasi sendiri dengan tindakan seperti itu.

“Ia satu fitnah dan saya bukanlah mengejar wang ringgit seperti mana yang digembar-gemburkan sesetengah pihak,” sangkalnya.

Mengulas lanjut, teraju utama drama Dia Semanis Honey itu menjelaskan, apa sebenarnya yang berlaku adalah apabila pihak penganjur berkenaan tidak membayar deposit seperti mana yang dijanjikan sebelum membuat persembahan.

“Terdapat tiga tawaran daripada penganjur lain pada hari yang sama. Jadi, saya perlu mengutamakan pihak yang telah membayar deposit, bukannya memilih penganjur yang bayar lebih tinggi.

“Lagipun perkara ini sudah lama berlaku, saya tidak faham mengapa ia perlu dijadikan isu yang cuba diperbesarkan,” ungkapnya kesal.

Cuma pada masa sama, pelantun lagu Paling Comel itu memohon maaf seandainya sukar untuk memuaskan hati mana-mana pihak.

“Banyak hati yang perlu dijaga dan sejujurnya, saya telah berusaha sedaya upaya untuk tidak menghampakan mana-mana pihak. Seandainya masih ada yang berkecil hati dan terlepas pandang, saya memohon maaf.

“Buat masa ini, saya hanya mahu memastikan anak dan keluarga bahagia, jadi saya perlu bekerja bersungguh-sungguh demi kelangsungan karier,” ujarnya.

Menyentuh mengenai perkembangan karier, Nana memberitahu dia kini sedang giat mempromosikan single terbaharunya berjudul Pesanan Teragung hasil sentuhan komposer Audi Mok dan Omar K.

“Saya juga mendapat beberapa tawaran lakonan, cuma masih memilih watak yang bersesuaian,” ujarnya menoktah bicara.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here