elizad
Cover image via mStar

SELEPAS lebih lima bulan menamatkan persaingan, sekali gus menyandang gelaran juara Gempak Superstar, hasrat pelakon Elizad Sharifuddin untuk muncul dengan single pertamanya akhirnya tercapai.

Menerusi single berjudul Haiyaya tersebut, Elizad, 32, sekali gus mengubati keresahan peminat yang ternanti-nanti lagu sulung nyanyiannya seperti dijanjikan sebelum ini.

Siap dirakam sekitar Julai lalu, wanita yang mesra membahasakan diri sebagai Ijat berkata, lagu tersebut sangat dekat dengan pengalaman sendiri yang banyak melalui proses sukar dan jatuh bangun dalam industri.

Ikuti perkembangan terkini daripada pelakon drama Si Kolot Suamiku itu tentang perancangan kariernya dalam bidang lakonan dan kini melebarkan sayap dalam nyanyian.

Tampil dengan single pertama selepas bergelar juara Gempak Superstar, boleh Elizad ceritakan lanjut mengenai single tersebut?

ELIZAD: Alhamdulillah, selepas sekitar enam bulan tamatnya program Gempak Superstar, saya kini muncul dengan single pertama. Ia dicipta sepenuhnya oleh Faizul Sani, Ezra Kong dan Omar K. Lagu ini berentak catchy dan lirik pula santai sesuai dengan kehendak pasaran sekarang yang nampaknya mudah menerima rentak sebegitu. Ia juga sangat dekat dengan diri saya kerana ia menceritakan bagaimana seseorang itu mampu untuk bangkit kembali menggapai impian selepas mengalami kegagalan.

Adakah anda bersedia untuk bernyanyi secara serius selepas ini?

Terpulang pada situasi. Jika ada tawaran, saya tidak akan menolak. Bagaimanapun, saya tidak meletakkan sebarang harapan atau menyimpan impian untuk menyertai mana-mana acara pertandingan tetapi saya tidak menolak seandainya peluang itu datang suatu hari nanti.

Sebab saya mempunyai pendirian bahawa jika sudah di depan mata, untuk apa saya sombong dengan rezeki Tuhan sedangkan dahulu, saya pernah melalui detik sukar dan kurang tawaran berlakon. Buat masa sekarang, saya meletakkan sasaran untuk menjadikan single ini sebagai lagu tema mana-mana drama terutama yang dibintangi saya sendiri.

Rasanya sangat rugi jika tidak menggunakan lagu sendiri untuk drama lakonan kerana sedikit sebanyak kedua-dua karya itu akan bergerak seiringan.

Selepas memiliki single, bagaimana dengan kelangsungan dunia lakonan anda?

Masih sama dan tiada ada yang berkurang kerana keutamaan saya memang ke arah lakonan. Saya menerima tawaran untuk single ini pun selepas tamatnya program Gempak Superstaz, jadi saya fikir mengapa ditolak jika peluang sudah ada di depan mata. Selepas ini, saya tetap mempunyai perancangan untuk terus mengeluarkan single lain jika ada rezeki.

Baiklah, boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama sebanyak 80 episod berjudul Papa Ricky di samping pelakon Fadlan Hazim dan beberapa pelakon baharu. Proses penggambaran mengambil masa yang panjang dan ia akan selesai sekitar Mei tahun depan.

Anda masih menerima tawaran berlakon di samping pelakon baharu, adakah anda memang tidak memilih dalam soal tersebut?

Sejujurnya saya tidak kisah untuk berlakon dengan mana-mana pelakon baharu. Saya sedar, sewaktu mula-mula mengenal impian untuk bergelar pelakon, ramai pelakon senior sudi menerima dan memberi tunjuk ajar kepada saya contohnya seperti Datuk Rosyam Nor.

Mereka tidak lokek ilmu dan tidak meletakkan jurang di antara pelakon baharu dengan senior.

Jadi, apabila berada pada tahap sekarang, mengapa tidak saya lakukan perkara yang sama. Asalkan mereka sudi untuk belajar, sebagai pelakon yang agak senior, saya seronok berkongsi ilmu.

Baca lagi: Elizad Juara Gempak Superstar 2016

LEAVE A REPLY