singapura
Foto hadapan oleh FMT

SINGAPURA: Singapura akan mengambil tindakan sama dengan Malaysia melalui pelaksanaan caj jalan raya (RC) RM20 di Tambak Johor dan Link Kedua, berkuat kuasa semalam.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan yang dilaporkan Channel NewsAsia berkata, RC yang dikenakan Malaysia “adalah satu diskriminasi terhadap kenderaan yang didaftarkan di Singapura kerana ia hanya terpakai di pusat pemeriksaan Singapura.”

Menurut laporan itu, Kementerian Pengangkutan Singapura akan mengumumkan butiran terperinci mengenai tindakan berkenaan tidak lama lagi.

Sabtu lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata, Malaysia tidak pernah bersikap diskriminasi dalam melaksanakan RC bagi kenderaan Singapura yang masuk ke Malaysia kerana ia akan dilaksanakan di semua 12 pintu masuk negara secara berperingkat.

Foto oleh FMT
Foto oleh FMT

Beliau berkata, pelaksanaan RC itu sudah dimaklumkan terlebih dahulu kepada rakan sejawatannya dari Singapura.

“Singapura sudah mengenakan RC kepada kami sejak beberapa dekad lepas. Kami baru hendak memulakannya sekarang.

“Tidak ada diskriminasi. Kami akan kenakan caj jalan raya bukan sahaja di sempadan kami dengan Singapura, tetapi juga di sempadan kami dengan Thailand, Brunei dan Indonesia pada kadar sama, iaitu RM20 bagi setiap kereta,” kata Liow.

Purata 20,000 kenderaan Singapura memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Link Kedua, setiap hari.

LEAVE A REPLY