Sindrom

Sindrom mendedahkan keburukan negara kepada dunia luar sudah menjadi tren kelompok-kelompok pembangkang negara ini. Sama ada secara terang-terangan, mahupun secara di bawah sedar.

Secara terang-terangnya melibatkan bekas pemimpin mendedahkannya menerusi wawancara dengan agensi berita asing. Manakala secara di bawah sedar apabila mereka menggunakan internet untuk menularkan kelemahan-kelemahan berkenaan, termasuk penggunaan portal berita.

Persoalannya, apakah rasa cinta pada negara sudah pudar di hati pembangkang. Apabila hasrat mereka untuk mendapatkan sesuatu tidak tercapai, mereka dengan mudah memaparkan kelemahan dan keburukan negara dan pemimpin sendiri kepada media asing untuk tatapan masyarakat luar, khususnya musuh-musuh negara yang sedang mengintai peluang menakluk negara kita.

Menakluk di sini bukan dengan menggunakan senjata. Musuh-musuh negara, terutamanya negara-negara kuasa besar tidak memerlukan senjata untuk menakluk Malaysia, cukup sekadar penaklukan ekonomi dan politik.

Dilihat dari sisi lain, musuh-musuh negara sangat memerlukan maklumat berkaitan ekonomi dan politik kita untuk memulakan penaklukan. Dan sekarang sangat mudah bagi mereka untuk mendapatkan maklumat berkenaan kerana rakyat negara ini sendiri dengan rela hati mendedahkannya.

Dengan kata lain, keseronokan sebilangan rakyat Malaysia mendedahkan keburukan dan kelemahan negara kepada media asing adalah antara kaedah yang digunakan barat mencari dan mendalami pengetahuan mereka terhadap kekuatan dan kelemahan negara kita.

Mereka sekarang tidak perlu membayar mahal kepada “perisik-perisik” mereka di sini untuk mendapatkan maklumat berkenaan. Cukup sekadar membawa you tube atau portal-portal berita yang dikendalikan pembangkang, atau orang-orang yang tidak sehaluan dengan pemerintah.

Sukar dicari punca kesanggupan kelompok ini mendedahkan keburukan negara kepada media-media asing itu. Mereka lahir di sini, belajar dan bekerja di sini, malah sebahagian mereka mendapat pelbagai bantuan kerajaan sejak belajar dan mendapatkan pekerjaan.

Apakah dengan hanya mengimpikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang, serta menjadi pemerintah, mereka sanggup mendedahkan kelemahan negara kepada kuasa asing. Tidakkah mereka sedar maklumat yang mereka dedahkan itu boleh memakan diri sendiri apabila mereka benar-benar berjaya menubuhkan kerajaan akan datang.

Musuh sudah tahu keburukan dan kelemahan kita dan dengan mudah mereka menakluk negara kita, khususnya dari segi ekonomi tidak kira siapa yang memerintah ketika itu.

Hendak dikatakan mereka bodoh, mungkin tidak. Kerana kebanyakan anggota kelompok ini terdiri dari orang-orang terpelajar dan pernah memegang jawatan tertinggi dalam politik dan pentadbiran negara.

Saya percaya orang-orang ini sudah lama sedar tentang bahaya menjadi “tukang dedah” maklumat negara kepada orang luar. Contohnya Tun Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia selama lebih 20 tahun. Tentu sekali dia sedar bahaya mendedahkan kelemahan negara kepada kuasa asing. Malah beliau sendiri pernah menegur pembangkang yang berbuat demikian semasa pemerintahannya.

Alangkah damainya, jika Tun Mahathir turut memainkan peranan pembangkang yang baik. Sebagai check and balance kepada usaha-usaha kerajaan sekarang supaya tidak tergelincir atau tersadung dengan masalah yang boleh menjejaskan usaha murni kerajaan.

Semua orang sedar ekonomi negara sekarang sedang berada di tahap yang amat teruk. Dalam keadaan sekarang di mana pembangkang hanya berperanan menghebahkan kelemahan itu kepada dunia luar, sukar bagi kerajaan untuk memulihkannya.

1 COMMENT

  1. penulis sila tunjuk teladan macam mana nak jadi pembangkang yang baik.. kepimpinan melalui teladan.. bapa borek anak ritik. bagaimana acuan begitulah kuihnya.. mana tak tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here