Siapa

UMUM mengetahui pemimpin Pakatan Harapan sebulat suara memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara sebagai Perdana Menteri ke-7 jika pakatan itu menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan mempamerkan sepanduk `Anwar PM ke-7′.

Perkara itu dinyatakan mereka pada Kongres PKR ke-12 di Shah Alam, Selangor pada 21 Mei lepas.

Pemimpin Pakatan Harapan seperti penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Azizah Ismail dilihat dengan penuh bangga memegang sepanduk `Anwar PM ke-7′.

Bagaimanapun, sedarkah semua, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berbuat demikian.

Tidak ada siapa boleh menafikan, Anwar sememangnya merupakan calon Perdana Menteri yang dikitar semula Pakatan Harapan.

Adakah Pakatan Harapan belum mencapai kata sepakat mengenai calon Perdana Menteri jika pakatan itu menang pada PRU-14 akan datang?

Umum mengetahui Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun atas pertuduhan liwat dilakukannya.

Jika dibebaskan sekiranya berkelakuan baik dalam tempoh itu sekalipun, Anwar masih terikat dengan sekatan lima tahun tidak boleh bertanding dalam pilihan raya.

Jadi, kenapa Pakatan Harapan masih memilih Anwar sebagai calon Perdana Menteri mereka?

Adakah hanya Anwar yang dirasakan layak untuk mewakili pakatan itu?

Bagaimana dengan Mahathir dan Muhyiddin yang merupakan gabungan baharu dalam Pakatan Harapan?

Adakah dua pemimpin PPBM itu tidak layak menjadi calon Perdana Menteri?

DAP sebelum ini telah menamakan isteri Anwar, Wan Azizah sebagai Perdana Menteri interim jika Pakatan Harapan menang PRU-14 akan datang.

Kit Siang memaklumkan, Wan Azizah akan memangku jawatan itu sehingga Anwar dibebaskan dari penjara.

Adakah rakyat sedia memilih isteri Anwar sebagai calon Perdana Menteri?

Kemudian Wan Azizah akan mengusahakan pembebasan serta memberi laluan suaminya mengambil alih tempatnya?

Bertukar ganti antara Anwar dengan Wan Azizah di Permatang Pauh atau kerusi Ketua Pembangkang masih boleh diterima, tetapi tentunya bukan bagi jawatan Perdana Menteri. Itu melampau namanya.

Tidak menjadi masalah jika Pakatan Harapan tetap mahukan Anwar jadi Perdana Menteri.

Tetapi, untuk menuju hasrat itu, kemenangan dalam pilihan raya dan proses pengampunan bagi Anwar, mesti dilakukan terlebih dahulu.

Untuk rekod, pada 2 November 1998, Anwar dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur di atas tuduhan menyalahgunakan kuasa semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Mahkamah kemudian memutuskan Anwar bersalah dan dipenjara selama enam tahun pada 14 April 1999.

Anwar, 69, kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan selepas dia didapati bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari.

Jika mengikut perkiraan andaian, Anwar dijangka bakal dibebaskan pada 10 Februari 2019 atau 2020.

Sebelum ini, ahli DAP yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah mencadangkan Mahathir menjadi calon Perdana Menteri gabungan Pakatan Harapan.

Cadangan itu membuktikan Zaid tidak yakin dengan keupayaan Wan Azizah untuk menjadi Perdana Menteri.

Persoalannya, adakah DAP akan setuju untuk melantik Mahathir sebagai Perdana Menteri jika Mahathir bersedia menerima jawatan itu?

Umum juga mengetahui, Mahathir sebelum ini bertegas tetap tidak memilih Anwar sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, Mahathir membayangkan seseorang Perdana Menteri mesti dipilih dari kalangan parti dalam Pakatan Harapan yang berjaya mendapat jumlah kerusi paling banyak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Cita-cita Mahathir adalah untuk mengangkat anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang juga Timbalan Presiden PPBM sebagai Perdana Menteri.

Atas sebab itulah, Mahathir sanggup bersekongkol dengan DAP dan Pakatan Harapan demi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PPBM sebelum ini telah mengumumkan hasil bancian melibatkan 3,000 responden di 30 kerusi Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Bancian itu menunjukkan calon-calon daripada parti itu menjadi pilihan rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

Keputusan bancian menunjukkan Muhyiddin menjadi pilihan teratas dengan 37.3 peratus dan diikuti Mahathir sebanyak 35.9 peratus.

Kedudukan ketiga, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; keempat, Mukhriz; kelima, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan keenam, Anwar.

Bancian itu seperti memberi gambaran bahawa Anwar sudah tidak lagi menjadi pilihan rakyat di negara ini untuk menjadi Perdana Menteri.

Ternyata Pakatan Harapan sedang menghadapi satu isu besar yang belum dapat diselesaikan iaitu menentukan calon menjadi Perdana Menteri.

Adakah gabungan Pakatan Harapan akan sepakat memilih Anwar sebagai bakal Perdana Menteri?

Rakyat sedang menantikan apa keputusan Pakatan Harapan yang dipersetujui semua parti gabungannya, DAP, PKR, PAN dan PPBM.

Tentu di dalam hati semua sudah bermimpi untuk duduk di kerusi nombor satu Putrajaya itu.

Dan bercakaran sesama mereka pasti akan dihalalkan demi memenuhi mimpi yang sudah pasti tidak tahu pada tahun b

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here