sherry alhadad
Cover image via Harian Metro

Bertubuh besar bukanlah penghalang buat pelakon Sherry Alhadad melakukan pelbagai aktiviti lasak.

Bagi pengacara program travelog, Extreme Road Trip yang akan mula bersiaran pada 1 Oktober ini, dia sendiri tidak menyangka mampu menikmati keseronokan melakukan aktiviti menarik itu.

“Saya bukanlah peminat sukan lasak. Apabila ditawarkan mengacara program travelog, perkara pertama yang bermain di fikiran saya adalah makanan. Namun, apabila dimaklumkan konsep program ini, saya sahut cabaran melakukan pelbagai aktiviti lasak,” katanya.

Ditanya sama ada saiz dan berat badan menghalangnya melakukan aktiviti bersama dua lagi pengacara iaitu Elfira Loy dan Ardell Aryana, Sherry mengakui perkara itu, tetapi berusaha untuk turut serta.

“Ada beberapa aktiviti saya tidak dapat turut serta antaranya berkuda. Had berat yang ditetapkan untuk aktiviti ini adalah 78 kilogram.

“Ada juga beberapa aktiviti lain yang mencabar mental dan fizikal antaranya di Gua Musang apabila memerlukan saya memanjat dinding gua dengan menggunakan tali semata-mata.

“Memang sangat mencabar sehingga saya menangis kerana panik. Namun, atas sokongan kawan, saya gagahkan juga memanjat dan rasa puas selepas selesai melakukan aktiviti itu,” katanya.

Menurut Sherry atau nama sebenarnya Shariffah Mariam Syed Abdullah, kekangan itu hanyalah apa yang wujud dalam fikiran semata-mata.

“Sekiranya kita asyik cakap tak boleh, kita akan berada di takuk lama. Bagi saya, kita kena berusaha dahulu.

“Berjaya atau tidak, setidak-tidaknya kita sudah mencuba dan buat yang terbaik,” katanya.

Ditanya sama ada dia mempunyai sebarang fobia, Sherry berkata, dia takut dengan ketinggian, tempat sempit dan air.

“Program ini sedikit sebanyak membantu saya melawan fobia yang membelenggu diri selama ini.

“Saya bukan mahu membuktikan sesuatu kepada penonton, tetapi sekadar berkongsi pengalaman. Lagipun ia bawa mesej positif bahawa saiz bukan penghalang jika kita ada keazaman yang kuat,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini kerjayanya, Sherry berkata, dia masih mengacara program Akak Akak Sangat di Astro Prima.

“Alhamdulillah, program ini masih dilanjutkan dan kami sedang mencari inti pati serta identiti supaya lebih kukuh,” katanya.

Menjelang 30 September ini, Sherry juga bakal mengendalikan program Anugerah Planet Muzik 2016 (APM2016) bersama Suhaimi Yusof dari Singapura dan Desta (Indonesia).

Selain itu, satu lagi pencapaiannya adalah muncul dalam filem Indonesia berjudul Jangkrik Boss! yang kini hangat ditayangkan di negara itu.

“Meskipun hanya muncul dalam satu babak, saya teruja. Ini kali kedua saya diundang untuk muncul dalam filem Indonesia selepas My Stupid Boss,” katanya.

Baca lagi: Sherry Alhadad Fikir Masa Depan

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here