SHERRY ALHADAD
Cover image via Berita Harian

Biarpun tidak mempunyai pakej dari segi rupa paras, namun bakat Sherry Alhadad cukup besar sehingga berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan artis popular lain.

Ironinya, kejayaan yang dikecapi pemilik nama sebenar Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad bukan seperti menyuap makanan ke mulut, kerana lebih dasawarsa yang lalu Sherry berjuang menempatkan dirinya di dalam industri seni.

Selama ini, saya bekerja secara underdog, tetapi alhamdulillah kini mula dikenali. Terus terang saya cakap, kalau dahulu bolehlah nak bersuka ria, namun sejak umur masuk 32 tahun, saya kena serius bekerja untuk masa depan. Bila diberi tanggungjawab harus dilunas dengan sebaik mungkin. Bukan lagi mengejar glamor semata-mata,” katanya kepada Sensasi Bintang.

Sherry tidak pernah tergugat dengan selebriti lain kerana baginya dengan menjadi diri sendiri itu adalah yang terbaik.

Pelakon teater Mak Dara Nyonya itu juga sedar gandingannya bersama Zulin Aziz mengacarakan program Melodi dan Diva Kelakarama menjadi pencetus nama kedua-duanya dikenali.

“Alhamdulillah, orang percaya dengan bakat kami berdua, malah selepas itu banyak tawaran yang hadir kepada kami secara individu. Saya gembira dengan situasi itu kerana masing-masing ada rezeki,” ujarnya yang dipertanggungjawabkan mengacarakan anugerah berprestij, Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) bersama Nabil Ahmad pada 3 September depan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menerima banyak tawaran mengacara dan berlakon, namun Sherry tetap menjadikan lakonan sebagai kunci utama kerjayanya kerana minat yang mendalam dalam bidang itu.

“Memang sejak kecil minat berlakon sampai saya ambil keputusan untuk belajar lakonan dekat Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan,” ujarnya yang cukup berbakat di pentas teater.

Hebat di pentas teater Projek Disko Baldi, Mak Dara Nyonya, Nyonya & The Gang serta Asmara-ra All Star, Sherry akui turut berdepan dengan saat tidak mengingati dialog ketika di atas pentas.

Pernah terjadi situasi saya terdiam dan lupa dialog ketika berlakon di pentas teater Gadis Jalan Burma. Ketika itu, saya perlu bermonolog selama sejam setengah dalam loghat Pulau Pinang. Dalam monolog itu, saya perlu melontarkan beberapa perkataan yang tidak sesuai didengari kanak-kanak dan tiba-tiba saya terpandang seorang kanak-kanak yang berada di bawah pentas. Jadi, dengan serta-merta saya terlupa dialog yang perlu dilontar,” kongsinya.

Menurut Sherry, pengalaman itu mematangkannya di pentas teater untuk berfikir dengan kreatif bagi menambah baik skrip di atas pentas.

Berkongsi perkembangan terkininya, kata Sherry, dia bakal muncul sebagai pengacara program travelog bersama Elfira Loy dan Sharifah Sakinah. Bagaimanapun judul program tersebut masih belum ditetapkan.

“Bila ditawarkan mengacarakan program travelog, saya fikir pergi ke tempat-tempat menarik dan menelusuri tempat makan yang sedap. Rupa-rupanya program travelog ini ada melibatkan pelbagai aktiviti lasak seperti memanjat gunung. Maka, saya terpaksa menyahut cabaran tersebut,” ujarnya sambil ketawa.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here