Brooke Dockyard
Image via BERNAMA

KUCHING, 1 Nov – Shell memberi kontrak fabrikasi platform luar pesisir kepada Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation, syarikat kejuruteraan bersepadu milik kerajaan negeri Sarawak.

Majlis menandatangani perjanjian bagi kontrak itu berlangsung di sini hari ini dan disaksikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Shell diwakili Pengarah Urusan Shell Global Solutions Malaysia Simon Ong dan Pengurus Besar Sarawak Shell Bhd Jill Chieng manakala Brooke Dockyard diwakili Pengurus Besarnya Norhizan Sazali dan Pengurus Kanan Lubau Genam.

Turut hadir Pengerusi Shell Malaysia Datuk Iain Lo, Pengarah Urusan Shell Sarawak Bhd Simon Durkin, Pengerusi Brooke Dockyard, Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg, Naib Presiden Pengurusan Petroleum Malaysia, Petronas, Zamri Jusoh dan Naib Presiden Kanan, Mazulin Ismail.

Lo berkata platform itu bertempat di medan E6 dan dibangunkan sebagai kemudahan besepadu minyak dan gas, dan menambah, minyak dan gas akan dipindahkan menerusi infrastruktur sedia ada, D35 dan hab E11.

Beliau berkata pembangunan E6 merupakan sebahagian daripada kontrak perkongsian pengeluaran SK308 yang diberikan oleh Petronas kepada Sarawak Shell Bhd (50 peratus, operator) dan Petronas Carigalu Sdn Bhd (50 peratus).

Lo berkata skop kerja bagi kontrak itu termasuk peruntukan pengurusan projek, perolehan kejuruteraan fabrikasi, tenaga kerja, bahan-bahan, peralatan dan kemudahan yang diperlukan untuk fabrikasi dalam negeri bagi platform E6.

Shell sudah mempunyai hubungan bekerjasama yang lama dengan Brooke Dockyard, dan kami gembira untuk memasuki fasa kerjasama baharu dengan fabrikasi platform E6.

“Saya gembira melihat perbadanan itu berkembang dan memperoleh projek yang lebih besar sejak tahun kebelakangan ini, dan yakin akan menyiapkan platform berkualiti dan selamat,” katanya.

Adenan dalam ucapannya berkata perjanjian hari ini menandakan satu lagi lakaran sejarah bagi penyedia perkhidmatan minyak dan gas tempatan, dan jelas menunjukkan keupayaan mereka untuk bersaing dan berjaya mengatasi pesaing terkemuka.

“Sebagai limbungan tertua di negara ini, saya gembira melihat Brooke Dockyard berkembang daripada perkhidmatan kapal dan jentera kepada fabrikator modul luar pesisir utama dalam industri petroleum, marin dan pembuatan,” katanya.

Abang Abdul Karim berkata Brooke Dockyard berterima kasih kepada Shell atas keyakinan dan pengiktirafan syarikat berkenaan.

Beliau berkata syarikat itu telah mencapai lebih 10 juta jam kerja tanpa hilang masa kecederaan sejak sembilan tahun lalu, dan menambah, ia terlibat aktif dalam pelbagai projek huluan sejak 20 tahun lepas.

“Sepanjang tempoh ini, Brooke Dockyard berjaya menyiapkan empat kediaman, empat substruktur, enam pelantar topsides, satu template dasar laut dan dua kerja prafabrikasi semula untuk Shell Sarawak,” katanya.

LEAVE A REPLY