sharnaaz ahmad
Cover image via edtv

SOSOK tubuh lelaki ini tersarung kemas persalinan penuh uniform berceloreng hitam dan jingga daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Melihat langkahnya diatur dengan penuh yakin, jelas terpancar dialah hero harapan yang acapkali membantu menyelamatkan mangsa daripada malang tidak berbau. Biarpun hanya sekadar lakonan, namun itu karakter yang diamanahkan kepada aktor kacak, Sharnaaz Ahmad menerusi drama rantaian baharu berjudul Hero.

Sudah menemui penonton sejak 5 September lalu, pukul 9 malam di TV2, Sharnaaz atau nama lengkapnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad memegang watak sebagai pegawai bomba bernama Khalid yang begitu komited dalam misi menyelamatkan nyawa manusia.

“Sebelum ini, apabila bercakap tentang bomba, saya akan terfikir tentang kebakaran dan operasi menangkap ular sahaja. Saya juga pasti tidak semua masyarakat tahu tugas lain bomba.

“Bagaimanapun, setelah terlibat dalam pembikinan drama Hero, secara tidak langsung saya mengetahui skop kerja bomba yang lebih meluas termasuk gerakan menyelamat mangsa gempa bumi dan penonton juga boleh mengetahui tugas ‘hero’ yang tidak pernah dipaparkan dalam mana-mana filem ataupun drama melalui naskhah ini,” ujarnya membuka bicara.

Adat membawakan watak aksi dan penuh cemas, pastinya pelakon kelahiran George Town, Pulau Pinang itu tidak terlepas daripada berdepan dengan sebarang cabaran.

Tertawa ketika mengingatkan badannya luka-luka semasa menjayakan penggambaran yang berlangsung sekitar bulan November dan Disember tahun lalu, Sharnaaz turut memberitahu, dia berjaya mengatasi dua ketakutan yang selama ini merajai dirinya.

“Setiap babak mempunyai cabaran tersendiri. Pun begitu, terdapat satu babak yang menyebabkan badan saya luka-luka. Dalam babak itu, saya ditugaskan menyertai satu operasi tanpa memakai pakaian keselamatan kerana sedang bercuti. Disebabkan ingin menjadikan ia seperti kejadian sebenar, saya akhirnya tidak sedar aksi tersebut boleh membahayakan diri.

“Sejak terlibat dalam Hero saya berjaya mengatasi rasa takut terhadap air dan ketinggian. Alhamdulillah, rasanya inilah cabaran besar yang berjaya saya atasi,” ujarnya yang pernah menyimpan impian untuk bergelar anggota tentera.

Lasak

Melanjut bicara, jelas pelakon filem Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu, alasan utama dia menerima tawaran berlakon dalam drama 13 episod tersebut adalah kerana menggemari aktiviti lasak.

Malah, Sharnaaz turut mengakui jatuh cinta dengan kerjaya bomba yang disifatkan menarik serta murni kerana melibatkan pengorbanan dalam menyelamatkan orang.

“Sebelum ini saya sangat minat kerjaya sebagai tentera, bagaimanapun ia tidak kesampaian disebabkan beberapa alasan. Pun begitu, jika diberi pilihan kini, saya pasti akan memilih bomba kerana ia menarik dan saya sudah jatuh minat terhadap kerjaya ini.

“Alasan utama menerima tawaran berlakon drama Hero adalah kerana saya seorang yang suka aksi lasak. Malah, drama ini juga mendapat sentuhan pengarah hebat seperti Bade Hj Azmi,” ujarnya.

Selain itu, akui Sharnaaz, kekuatan barisan pelakon seperti Tiz Zaqyah, Fezrul Khan dan Rusdi Ramli juga menjadi sebab dia menerima tawaran tersebut biarpun belum pernah berlakon bersama.

Memberitahu tidak pernah berlakon sama, namun mereka hanya mengambil masa selama dua hari sahaja untuk rapat dan bekerja seperti satu keluarga. Kata lelaki itu, semua pelakon menunjukkan kerjasama yang sangat baik tanpa ada rasa takut walaupun perlu berhadapan dengan api.

“Saya juga kagum dengan keberanian Tiz Zaqyah. Walaupun seorang perempuan tetapi harus diakui dia sangat berani lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan ketinggian seperti turun tiang dan memanjat pencawang elektrik,” jelasnya.

Mahu kahwin

Membawa rancak perbualan ke arah lebih peribadi, sempena dengan ulang tahun ke-31 lelaki itu pada 30 Ogos lalu, sengaja kemudian dia ditanya soal impiannya seiring dengan peningkatan usia.

Tanpa berselindung, Sharnaaz yang kini sedang hangat menjalinkan hubungan cinta bersama kakak Neelofa, Noor Nabila mengakui ingin menamatkan zaman bujangnya pada usia 31 tahun.

“Apa yang saya harapkan selama ini kebanyakannya sudah berjaya dicapai. Saya telah mendapat kepercayaan lakonan daripada pengarah dan dianugerahkan pelbagai penghargaan.

“Pada usia 31 tahun, sudah tiba masanya untuk saya mendirikan rumah tangga. Jika ada rezeki dan tiada halangan daripada mana-mana pihak, saya akan berkahwin pada tahun depan,” ujarnya tersenyum.

Tidak mahu terlalu terburu-buru dalam membuat perancangan, Sharnaaz memberitahu, sebarang persiapan belum dilakukan. Bagaimanapun, hasrat murni ingin mendirikan masjid itu telah dipanjangkan kepada keluarganya.

“Saya sudah mengajukan hal ini kepada Nabila. Malah, kami juga sudah saling mengenali keluarga masing-masing.

“Setakat ini saya selesaikan urusan di peringkat keluarga terlebih dahulu dan kemudian baru pergi ke keluarga Nabila. Kalau boleh, saya ingin menjalankan majlis mengikut adat untuk menghormati kedua-dua belah pihak,” katanya yang tidak mahu mengikat tali pertunangan terlalu lama.

Diusik perihal keistimewaan wanita yang dikenali sejak Julai tahun lalu dan terus berjaya mencuri hatinya, jelas terpancar bunga-bunga bahagia di wajah Sharnaaz.

Mengakui Nabila adalah wanita berbeza, Sharnaaz optimis kekasihnya itu mampu menjadi isteri dan ibu yang terbaik buat anak-anaknya.

“Jujur diakui, memang kami banyak gaduh walaupun hanya pada perkara yang kecil sahaja.

“Di sebalik pergaduhan itu, kami menyedari sangat memerlukan antara satu sama lain. Apabila salah seorang tiada, memang akan terasa kosong.

“Nabila merupakan seorang wanita yang pemalu. Pun begitu, dia tahu dengan setiap kehendaknya dan pada saya dia wanita yang bijak.

“Melihat pada semua kualiti yang ada padanya, saya yakin dia boleh menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak saya nanti,” ujarnya seraya menggulung bicara.

Artikel berkaitan: Sharnaaz Ahmad Rancang Kahwin Tahun Depan

LEAVE A REPLY