Sabah

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden PKR Darell Leiking berkata keputusan Datuk Seri Shafie Apdal untuk mengambil alih satu parti tempatan petanda masa depan yang baik untuk politik Sabah.

Ahli Parlimen Penampang itu, yang keluar PKR semalam, menyatakan sokongan kepada bekas naib presiden Umno itu kerana merasakan Shafie ada wawasan tersendiri untuk negerinya.

“Kebiasaannya saya bukan orang yang terburu-buru mendakap sesuatu yang baru, andainya saya berbuat begitu, saya pasti ia kukuh dan kita akan bersama Shafie,” katanya kepada FMT, tanpa mahu mendedahkan butiran lanjut.

Darell memberi bayangan parti baharu itu akan menangani isu yang pernah menerjah ke muka hadapan akhbar, seperti isu keselamatan pantai timur Sabah serta isu pendatang asing dan kewarganegaraan.

Beliau memuji Shafie sebagai seorang pemimpin jujur dan berdedikasi yang bersungguh mahu selamatkan Sabah.

Darell berharap rakyat Sabah akan menyokong inisiatif Shafie.

Shafie dilaporkan mengambil alih satu parti politik Sabah sebagai platform untuk mencabar BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Darell, bersama Adun Sulabayan Jaujan Sambakong, yang juga keluar Umno, bertemu Shafie di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Putrajaya.

sabah

Menurut laporan The Star, mereka membincangkan pengambil alihan parti Sabah serta menukar nama dan logo.

Shafie bagaimanapun tidak mahu mendedahkan parti yang diambil alih itu dan nama baharunya, menjelaskan beliau akan berbuat demikian selepas permohonan diluluskan.

Ahli Parlimen Semporna itu meninggalkan parti pada 4 Julai, selepas Majlis Tertinggi Umno menggantung keahliannya pada 24 Jun selepas didakwa bekerjasama dengan pembangkang.

Khabar angin Shafie mahu menubuhkan parti baharu bertiup kencang apabila beliau menolak tawaran menyertai bekas pemimpin Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam parti baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pemimpin lantang itu digugurkan daripada Jemaah Menteri kerana menyertai Muhyiddin mengkritik cara kerajaan mengendalikan dakwaan salah urus 1MDB.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY