Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini membentang Belanjawan Selangor 2017 yang mencecah RM3.45 bilion, dengan 52 peratus dari belanjawan tersebut bakal diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

Dalam ucapan beliau, Mohamed Azmin turut mengumumkan rizab kerajaan negeri kini berjumlah RM3.62 bilion, iaitu satu peningkatan berbanding RM3.26 bilion pada tahun lalu.

Tambahnya, sehingga Oktober tahun ini, kerajaan negeri mencatatkan kutipan hasil RM2.27 bilion iaitu peningkatan 101 peratus, berbanding tahun lalu.

“Belanjawan 2017 dijangka akan mengalami defisit berjumlah RM900 juta berpunca dari peningkatan substantif dalam perbelanjaan pembangunan untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan yang berkualiti untuk rakyat.

“Pembentangan belanjawan defisit ini mencerminkan sikap jujur dan disiplin fiskal kerajaan negeri dalam membuat perancangan.

“Pengalaman dua belanjawan yang lalu membuktikan usaha dan dedikasi penjawat awam dalam mengamalkan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dalam memungut hasil dan membasmi pembaziran serta ketirisan telah berjaya mengubah belanjawan defisit kepada sebuah belanjawan yang berimbang,” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, prestasi kewangan semasa kerajaan negeri mencatat lebihan semasa berjumlah RM351.38 juta.

Antara pengumuman yang dibuat sewaktu pembentangan termasuklah pengenalan Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan yang menawarkan khidmat jagaan percuma bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

Skim tersebut yang juga dikenali sebagai Skim Peduli Sihat bakal mendapat peruntukkan RM125 juta untuk tujuan pelaksanaan.

Azmin berkata skim ini akan memberi perkhidmatan kesihatan kepada 250 ribu keluarga atau sejuta rakyat Selangor berpendapatan isi rumah bawah RM3,000.

Menurutnya perbelanjaan perkhidmatan kesihatan negara pada 4.2% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merupakan rendah berbanding peratusan yang dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu sekurang-kurangnya 5%.

“Skim Peduli Sihat akan diuruskan oleh Selgate Corporation selaku Third-Party Healthcare Administrator yang akan membiayai rawatan kesihatan asas bagi setiap keluarga yang layak sehingga RM500 setahun.

“Penerima skim ini boleh mendapat rawatan di 1,000 buah klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.

“Mereka yang dilahirkan atau telah menetap lebih 10 tahun di Selangor layak untuk menyertai skim ini. Pendaftaran boleh dilakukan di Pejabat Ahli Dewan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah, klinik-klinik berdaftar termasuk pendaftaran atas talian dengan menyertakan bukti atau pengesahan pendapatan,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri turut menambah peruntukan mencegah denggi dan Zika kepada RM5 juta, berbanding RM1.5 juta yang diperuntukkan tahun ini.

Selangor mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi di negara ini dengan lebih 45,000 kes tahun ini.

LEAVE A REPLY