MENTERI
Foto hadapan oleh FMT

PETALING JAYA: Kenyataan Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa sekolah kebangsaan tidak akan dibenarkan menjadi “terlalu Islamik” mendapat kecaman beberapa pihak yang menyifatkan beliau sebagai membelakangi peranan Islam dalam pendidikan negara.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata Mahdzir gagal memahami falsafah pendidikan negara yang sebenar.

“Dasar pendidikan harus konsisten ke arah membina negara bangsa yang berakhlak, bermoral dan bersatu padu. Beliau (Mahdzir) perlu juga menimbang secara seimbang terhadap berbagai gejala sosial yang menimpa pelajar Islam akibat kelemahan pendidikan Islam di sekolah,” katanya.

MENTERI
Foto oleh FMT

Zaik juga mempersoalkan sama ada Mahdzir mahu mengenepikan peranan agama dalam pendidikan kebangsaan.

Semalam, Mahdzir berkata kerajaan tidak akan membenarkan sekolah kebangsaan menjadi “terlalu Islamik” kerana Malaysia sebuah negara Islam yang moden.

“Kita tidak akan melihat ia berlaku,” katanya mengulas kebimbangan ibu bapa bukan Islam yang dikatakan menjadi antara faktor sekolah kebangsaan semakin dipinggirkan kaum bukan Melayu.

Selain itu, Mahdzir turut dikecam Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, yang menyifatkan menteri itu “cetek” mengenai Islam sebenar.

“Dia (menteri) seorang Islam dan dalam matlamat dan hala tuju mestilah ada Islamiknya, bukan sekular sepenuhnya. Sebagai orang Islam kita nak orang Islam yang betul-betul Islam bukan separuh-separuh Islam,” katanya.

Tambah Mahfodz, apa juga dasar negara mesti berpandukan Islam kerana ia agama persekutuan.

 

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata pendekatan Islam di sekolah banyak manfaatnya.

“Kalau pendekatan Islam yang digunakan di sekolah boleh membawa kepada keganasan, kita setuju dia disekat.

“Tetapi kalau kegiataan yang boleh memberi manfaat kepada pelajar seperti usrah, berdoa dan seumpamanya, tidak harus disekat,” katanya.

LEAVE A REPLY